PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2023 berjaya mencapai matlamatnya untuk memberikan gambaran jelas kepada perwakilan dan lebih tiga juta penyokong akar umbi UMNO mengenai sebab parti itu perlu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Bagaimanapun, sama ada akar umbi UMNO boleh menerima atau tidak kerjasama berkenaan adalah perkara kedua kerana penilaian mengenai sejauh mana keberkesanan langkah itu bergantung kepada prestasi parti membentuk kerajaan campuran di Putrajaya dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pemulihan ekonomi rakyat.
Ini kerana kata Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi, hubungan UMNO-DAP bagai air dengan minyak yang memerlukan lebih masa untuk kedua-dua bercampur dan memulihkan diri masing-masing daripada luka-luka silam.
"Perkara itu perlu dibuktikan menerusi kerjasama Kerajaan Perpaduan dalam penggal ini di mana UMNO akan terus berpegang dengan tujuan penubuhannya dan DAP terus menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.
"PAU 2023 juga menjadi medan akar umbi menyampaikan pesanan kepada rakan strategik DAP supaya memohon maaf jika mereka mahu suhu politik diredakan dan kestabilan politik sedia ada berpanjangan,” katanya kepada Sinar Premium.
Anis Anwar menjelaskan, dalam melihat sokongan pengundi Melayu dan anak muda, PAU 2023 boleh diterjemahkan sebagai komitmen UMNO sebagai wakil politik Melayu dalam kerajaan.
Akan tetapi katanya, segala cadangan dan hasrat yang dicadangkan perlu diterjemah dalam kerangka dasar dan pelaksanaan kerajaan jika mahukan undi Melayu serta anak muda beralih kepada gabungan kerajaan campuran Barisan Nasional (BN)-PH sekarang.
Justeru, Anis Anwar berpandangan sayap Pemuda dan Puteri juga perlu diberikan ruang yang lebih luas oleh pucuk pimpinan.
"Ini kerana mereka memposisikan diri sebagai sayap yang boleh diberikan kepercayaan oleh pengundi muda untuk menjadi ejen semak dan imbang dalam kerajaan secara berkesan.
"Jika ruang ini tidak diberikan, pengundi muda khususnya akan melihat sayap Pemuda dalam UMNO sukar menjadi harapan kepimpinan baharu serta aspirasi anak muda dipelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula berkata, PAU 2023 berjaya mencapai matlamatnya sebagai medan rekonsiliasi politik dalaman UMNO, selain memperjelaskan hala tuju parti pada masa depan.
Noor Nirwandy menjelaskan, proses rekonsiliasi itu penting bagi membentuk permuafakatan dan kefahaman baharu dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO mengenai kedudukan mereka dalam kerajaan campuran yang turut disertai PH dan DAP.
Bagaimanapun, Noor Nirwandy tidak menolak kemungkinan mungkin terdapat sebahagian besar ahli UMNO masih memerlukan masa lebih panjang untuk memahami kenapa parti berkenaan perlu bergabung dengan PH dan DAP bukannya Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan campuran di Putrajaya.
"PAU 2023 juga memperlihatkan bahawa UMNO masih lagi memperjuangkan kepentingan, hak dan kedudukan orang Melayu Islam di Malaysia biarpun mereka kini bersama PH dan DAP dalam kerajaan campuran.
"Proses rekonsiliasi ini amat penting bagi UMNO bagi membolehkan parti berkenaan terus kekal relevan di mata pengundi terutama orang Melayu Islam menjelang PRN tidak lama lagi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca