SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memindahkan projek infrastruktur kecil seperti membaiki sekolah daif di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada jabatan lain atau pejabat daerah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memindahkan projek infrastruktur kecil seperti membaiki sekolah daif di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada jabatan lain atau pejabat daerah dilihat lebih telus dan cepat.

Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, idea itu bagus memandangkan proses diambil oleh pejabat daerah disifatkan tiada pilih kasih.

"Pada saya, idea itu bagus kerana pejabat daerah ini tidak pilih kasih, proses lebih mudah dan lebih cepat.

"Namun dari segi kaedah, dokumen dan sebagainya mungkin kena teliti disebabkan pejabat daerah tidak cukup dari segi kepakaran teknikaliti, tidak seperti JKR yang telah lama ada.

"Berikutan itu, saya bimbang apabila pejabat daerah menguruskan projek berkenaan kemungkinan akan 'tersangkut' atau memakan masa tetapi dari prinsip asas, matlamat untuk segera menyiapkan sesuatu itu melalui jabatan lain disifatkan baik," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Muhammad Azwan berpandangan bahawa inisiatif itu juga akan memberi bebanan kepada pejabat daerah kerana kekangan dari segi teknikaliti.

Muhammad Azwan

"Pejabat daerah memang ada bahagian pembangunan yang terlibat dalam rancangan tanah namun kalau beban teknikaliti yang selama ini digalas JKR di pindah kepada pejabat daerah, ia akan memberi kesan kepada pejabat daerah.

"Pada saya projek-projek teknikal ini sememangnya JKR merupakan jabatan yang tepat," ujarnya.

Pada Isnin, Anwar memaklumkan projek infrastruktur kecil akan dipindahkan ke jabatan lain atau pejabat daerah.

Kata Perdana Menteri, beliau telah berbincang dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berhubung projek seperti sekolah dan klinik daif, atau membaiki tandas rosak yang sepatutnya tidak perlu lagi membebankan JKR yang mempunyai tanggungjawab yang terlalu besar.

Klik di sini untuk terus membaca