SHAH ALAM - Ketua Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kesatuan Sekerja UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menegaskan, Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) boleh menjadi pelindung buat pekerja gig yang menjadi mangsa ekosistem industri itu.
Bahkan kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, SEGiM juga mampu membantu golongan pekerja gig memperjuangkan nasib dan hak mereka di samping mengawal selia keseluruhan industri itu.
Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu menggubal akta khusus buat ekonomi gig untuk melindungi kebajikan pekerja.
"SEGiM perlu ditubuhkan kerana tiada akta khusus bagi ekonomi gig. Pada masa ini, hanya pekerja tetap dan kontrak sahaja yang mempunyai Akta Kerja 1955 (Akta 265) dalam memastikan perhubungan industri antara majikan dan pekerja harmoni dan dilindungi.
"Tanpa akta, kita tidak dapat mengambil tindakan sekiranya mereka dianiaya. Justeru, melalui suruhanjaya ini, kerajaan perlu menggubal akta yang boleh mempertahankan nasib pekerja yang terlibat di dalam ekonomi gig,” katanya kepada Sinar Premium.
Mohd Sharkar berkata, tujuan suruhanjaya ini ditubuhkan adalah untuk memastikan semua pekerja gig mendapat kelayakan yang sewajarnya melalui undang-undang yang adil .
"Cadangan penubuhan suruhanjaya ini adalah untuk menjamin semua pekerja mendapat hak masing-masing.
"Kita tidak mahu hanya golongan tertentu sahaja yang dapat keuntungan. Kita juga mahukan satu sistem yang adil bagi melindungi kebajikan pekerja,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berpandangan, suruhanjaya itu penting untuk dilaksanakan di saat industri gig dijangka akan berkembang pesat pada era revolusi digital.
"Ekonomi gig melibatkan banyak kementerian yang bertanggungjawab. Oleh itu, kita memerlukan satu suruhanjaya untuk mengawal selia keseluruhan pentadbiran industri ini.
"SEGiM penting kerana ekonomi gig berkembang dengan pesat terutamanya selepas Covid-19 pada kadar 23 peratus setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu katanya, SEGiM dapat menjadi satu badan yang mengawal segala sistem pengurusan dan peraturan ekonomi gig agar kelihatan lebih teratur.
"Apabila adanya suruhanjaya ini, semua orang perlu ikut dan patuhi. Sama seperti pemandu kereta yang wajib mempunyai lesen kerana terdapat akta, kementerian serta undang-undang yang menjaga peraturan pelesenan.
"Itu salah satu matlamat suruhanjaya ini ditubuhkan. Ia dapat mengawal segala-galanya bukan sahaja soal manipulasi pekerja bahkan isu gaji, perlindungan insurans, kebajikan dan sebagainya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca