SHAH ALAM - Pemindahan projek-projek infrastruktur kecil di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada jabatan lain atau pejabat daerah hanya akan menambah risiko lebih banyak kes rasuah di lokasi baharu proses pelaksanaan projek dilakukan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pejabat daerah juga merupakan institusi yang berisiko tinggi berlakunya kegiatan rasuah, bahkan kes aduan sedia ada juga sudah begitu banyak.
Menurutnya, penyelesaian masalah yang lebih tuntas diperlukan sekiranya sebarang pembaharuan yang mahu dibuat kerajaan adalah demi membanteras rasuah.
"Bagi saya, kalau kita melihat institusi yang berisiko tinggi berlakunya rasuah di Malaysia, JKR adalah antara agensi yang menduduki tangga teratas.
"Malah pejabat daerah pun ada dalam kategori institusi berisiko tinggi. Tak ada jaminan (kurangkan kes rasuah). Kita memerlukan penyelesaian masalah yang lebih tuntas bukan setakat memindahkan dari mulut harimau ke mulut singa," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa projek-projek infrastruktur kecil yang kini di bawah seliaan JKR akan dipindahkan ke jabatan lain atau pejabat daerah.
Anwar berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi supaya JKR tidak lagi dibebankan dengan projek-projek seperti membaik pulih sekolah dan klinik daif, serta membaiki tandas kerana jabatan itu sudah mempunyai tanggungjawab yang besar.
Mengulas lanjut, Jais berkata dari sudut membanteras rasuah, pemerkasaan unit integriti JKR perlu dilakukan, bukannya memindahkan masalah ke tempat lain.
Ujar beliau, jika unit integriti JKR diberi kuasa penuh, masalah dalam JKR diyakini dapat diselesaikan.
"Iltizam Perdana Menteri untuk melakukan pembaharuan bagi memastikan masalah rasuah dalam negara ini dilaksanakan dengan segera wajar dipuji.
"Tapi sekiranya melakukan pembaharuan yang tidak akan memperbaiki keadaan, ia bukan satu pembaharuan, malah menambah masalah di tempat lain," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca