BERGERAK seiring dengan arus evolusi digital, ekonomi gig sedang memacu laju dan mula membentuk trend pekerjaan global cukup popular dalam kalangan anak muda.
Pekerjaan bebas berasaskan kontrak jangka masa pendek dan melibatkan aplikasi teknologi seperti pemandu Grab, Foodpanda dan LalaMove jelas mendapat tempat di hati generasi sekarang yang lebih mementingkan fleksibiliti serta kebebasan dalam kerjaya.
Namun, kawalan selia ekonomi gig yang lemah telah menyebabkan industri ini bagaikan bom jangka yang sedang berdetik akibat isu memanipulasi kadar upah, masalah potongan gaji pekerja, proses pengurusan cukai yang rumit serta kebajikan pekerja yang diabaikan.
Tidak dinafikan, ramai yang rasa seolah-olah ditindas sehingga beberapa siri mogok dilaksanakan untuk menunjukkan ketidakpuasan mereka kepada kelemahan sistem ekonomi gig di Malaysia.
Sebagai langkah membela nasib pekerja gig, UMNO melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 menggesa penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) baru-baru ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara dasarnya bersetuju dengan saranan parti itu untuk menubuhkan SEGiM.
Melihat kepada perkembangan itu, pakar ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi berkata, penubuhan SEGiM berupaya menjadi pengantara untuk mengawal industri gig supaya semua pihak terlibat boleh berunding dalam mendapatkan solusi terbaik bagi menangani sesuatu isu.
"Industri gig lebih mencabar kerana ianya melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi melihat isu pada setiap rantaian penawaran ekonomi. Antaranya ketidakjaminan pekerjaan, kekurangan manfaat perlindungan dan kesihatan, eksploitasi gaji dan kesukaran mendapatkan perkhidmatan kewangan.
"Justeru, saya percaya penubuhan SEGiM dapat menangani sebahagian cabaran-cabaran ini untuk menjaga dan meningkatkan kesejahteraan pekerja gig,” katanya kepada Sinar Premium.
Tegasnya, ekonomi gig dijangka berkembang pesat dan menyumbang dalam peratusan lebih besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memandangkan setakat ini 2.2 juta pekerja sudah berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
"Oleh itu, penting bagi kerajaan untuk kenal pasti struktur cukai terbaik supaya boleh mempelbagaikan sumber hasil dan tidak merencatkan industri ini untuk berkembang dalam masa yang sama.
"SEGiM perlu digunakan sebaik mungkin untuk menyelesaikan kekangan dan rintangan dihadapi pekerja gig. Setelah isu selesai dengan pembentukan akta dan undang-undang berkaitan pekerjaan gig, peranan SEGiM boleh dikurangkan atau dibubarkan,” ujarnya.
Tetapkan harga lantai
Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, penubuhan SEGiM berupaya menetapkan pelan harga lantai bagi mengelakkan kejatuhan kadar upah perkhidmatan pengambilan dan penghantaran pesanan barangan atau makanan.
"Sekiranya kerajaan kawal selia dengan meletakkan harga lantai seperti harga perkhidmatan teksi, tidak akan berlaku lagi situasi pelanggan berasa ditindas akibat upah tambang yang terlalu tinggi.
"Di samping itu, pemandu e-hailing juga tidak akan berasa seolah-olah dieksploitasi dengan kadar tambang rendah yang akan merugikan mereka,” jelasnya.
Dengan penubuhan SEGiM, Zulhelmi berharap agar kerajaan dapat merangka satu polisi akta dan undang-undang yang meliputi kepada keseluruhan ekosistem ekonomi gig di Malaysia.
"Sebelum ini berlaku beberapa peristiwa mogok berkait dengan isu utama iaitu isu upah. Saya percaya SEGiM mampu menyelesaikan semua isu sosial seperti kos pekerjaan, risiko pendapatan dan jaminan masa hadapan.
"SEGiM juga boleh memberi manfaat yang kepada vendor-vendor yang tidak mendapat bayaran mereka daripada syarikat penyedia,” katanya.
Selain itu katanya, SEGiM perlu menyemak semula setiap prosedur operasi standard (SOP) dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan supaya ia selaras dengan konsep ekonomi gig yang tidak terikat dengan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955.
"Selain harga lantai, SEGiM perlu tetapkan pelan jarak pengambilan pesanan maksimum empat kilometer. Sekiranya jarak perjalanan melebihi kadar maksimum, syarikat perlu beri insentif pick-up bagi elak penghantar barangan mengalami kerugian memandangkan kos pekerjaan p-hailing ditanggung seratus peratus mereka sendiri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca