SHAH ALAM - Cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dilihat antara langkah terbaik untuk mengawal selia ekosistem industri itu demi membela nasib pekerja.
Ini kerana kata Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada ketika ini tiada akta khusus yang memberi perlindungan sepenuhnya kepada pekerja p-hailing dan e-hailing.
"Saya bersetuju suruhanjaya itu ditubuhkan sekiranya ia bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang telah lama membelenggu pekerja dalam sektor ekonomi gig.
"Bagi pekerja yang hanya bergantung kepada ekonomi gig sebagai sumber pendapatan tetap, mereka juga berisiko kehilangan mata pencarian sekiranya berlaku kemalangan semasa waktu bekerja kerana tidak mempunyai perlindungan sosial yang jitu seperti skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya kepada Sinar Premium.
Sebagai salah seorang individu terawal yang lantang bersuara mengenai ekonomi gig di Malaysia, Ahli Parlimen Muar itu berkata, nasib pekerja-pekerja ekonomi gig yang kebanyakannya terdiri daripada orang muda akan lebih terbela sekiranya terdapat satu badan yang bertindak sebagai penyelaras.
"Rata-rata orang muda melibatkan diri dalam sektor gig kerana sukar untuk mendapatkan pekerjaan tetap atau gaji yang berbaloi.
Industri ini telah membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk menampung kos sara hidup dengan penggunaan teknologi.
"Namun, sektor gig tidak seharusnya menjadi destinasi akhir orang muda. Kebanyakan mereka yang membuat kerja sambilan e-hailing akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi dan bakat ini harus disumbangkan semula kepada pembangunan negara dalam bentuk tenaga pakar,” ujarnya.
Selaras dengan pembangunan dan kemajuan teknologi, Syed Saddiq berpandangan terdapat keperluan dalam mewujudkan satu akta khas demi membela nasib pekerja-pekerja ekonomi gig dan memastikan pendapatan serta keselamatan sosial mereka lebih terjamin.
"Walau bagaimanapun, bagi memastikan akta ini dapat digubal, perlu ada persetujuan daripada semua pemegang taruh di dalam sektor ini.
"Isu ini melibatkan ramai pihak termasuk pelbagai kementerian seperti Kementerian Belia dan Sukan, Sumber Manusia dan Pengangkutan yang secara tidak langsung boleh berlakunya pertindihan bidang kuasa yang tidak dapat dielakkan.
"Oleh itu, pihak kementerian perlu mewujudkan satu garis dasar sebelum akta ini dimuktamadkan,” katanya.
Sebelum ini, Syed Saddiq pernah membuat satu kerangka perundangan bagi mengawal pertumbuhan ekonomi gig pada peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk proses penelitian lanjut semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan.
Mengulas tentang pengawal seliaan ekonomi gig, Syed Saddiq berkata, tidak ada keperluan mewujudkan terlalu banyak perundangan ketat sehingga merencatkan pertumbuhan industri itu, sebaliknya kerajaan perlu berusaha mencari jalan pendekatan yang saling memanfaatkan.
"Pengawal seliaan ini harus dilakukan dengan berhati-hati kerana sekiranya ia dikawal dengan terlalu ketat, pertumbuhan ekonomi gig boleh terbantut dan ekosistem industri ini akan mengundur.
"Saya cadang supaya SEGiM fokus kebajikan, pendapatan dan keselamatan sosial pemegang taruh utama yang paling terkesan sebagai titik fokus penubuhan ini,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca