DUNIA telah melalui peralihan teknologi melalui revolusi pertama, kedua dan ketiga. Setiap revolusi mempunyai kemajuan dan pencapaian serta cabaran yang tersendiri.
Sekali lagi dunia akan menghadapi revolusi baharu dikenali sebagai Revolusi Industri 4.0 yang didasarkan dengan penemuan pelbagai teknologi terkini menggunakan internet, analisis pangkalan data, robotik dan kecerdasan buatan (Artificial Intellegence).
Ia merupakan teknologi automasi yang memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini dan memerlukan mereka melakukan perubahan seiring transformasi digital untuk mengekalkan daya saing serta kemajuan landskap dunia moden.
Oleh itu, pendidikan tinggi perlulah mempersiapkan graduan yang berkemahiran bagi menempuh cabaran Revolusi Industri 4.0.
Pendidikan di institusi pengajian tinggi dirancang bagi bergerak seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.
Revolusi Industri 4.0 diperkenalkan pada tahun 2016 yang merupakan satu bentuk kemajuan dalam peradaban dan ketamadunan manusia.
Peralihan dari zaman pertanian kepada zaman perindustrian menjadikan kehidupan manusia semakin kompleks dan penuh elemen berdaya saing dalam bentuk moden.
Bagi mendepani cabaran Industri 4.0 dalam era pendidikan negara terutama dalam pendidikan tinggi, pelajar universiti mesti keluar dari zon keselesaan.
Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah menggariskan kepentingan kemahiran Dalam Abad 21 iaitu penguasaan Elemen 4C Iaitu Critical Thinking & Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity pada semua peringkat pengajian.
Jika di sekolah, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) menjadi nadi utama, pelajar universiti pula harus mempunyai dan menguasai kemahiran 4C yang perlu diasah setiap penjuru kehidupan sama ada di kolej kediaman, dewan kuliah, sukan, aktiviti kesukarelawanan dan keusahawanan.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyediakan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi ke arah meningkatkan daya saing Malaysia ke peringkat yang lebih global dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 melalui sistem penyampaian pendidikan dan latihan yang berkualiti, berkesan, relevan dan mempunyai komitmen tinggi kepada pembelajaran sepanjang hayat.Institusi pengajian tinggi (IPT) dibangunkan dengan dua pendekatan iaitu pendidikan dan latihan yang berjalan secara bersepadu.
Pembelajaran sepanjang hayat atau lifelong learning merupakan proses pembelajaran secara berterusan bagi membantu meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui tiga komponen pendidikan iaitu pendidikan formal, pendidikan tidak formal dan pendidikan non-formal.
Proses ini juga berupaya membawa kepada perubahan sikap dan tingkah laku yang lebih baik, seterusnya meningkatkan potensi dan keupayaan individu untuk menyumbang kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara.
Perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilakukan dengan memberi pendedahan kepada pelajar bermula dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti tentang Revolusi Industri 4.0.
Pelajar perlu diberikan pengetahuan secukupnya untuk membangunkan teknologi, contohnya menghasilkan kod dan algoritma dan pembangunan sistem aplikasi yang kini mudah untuk dibangunkan pelajar seawal peringkat sekolah rendah.
Dengan gaya pembelajaran yang lebih fleksibel dan secara atas talian, sikap para pendidik perlu lebih berintegriti dan profesional. Para pendidik juga perlu peka dengan keperluan dan minat pelajar agar kaedah pengajaran yang berkesan dapat diguna pakai bagi mendapatkan hasil yang diingini.
Dalam mendepani cabaran dalam arus Revolusi Industri 4.0, para pendidik perlu lebih terbuka dan bersedia dengan perubahan-perubahan yang mendatang bagi memastikan para-pelajar seterusnya graduan kekal kompeten dan berdaya saing.
Mereka perlu kreatif untuk merancang di dalam merekabentuk sesuatu produk dan bijak mencipta potensi daripada Internet of Thing (IoT) bagi diaplikasikan di dalam sesuatu sistem melalui inovasi digital.
* Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman ialah Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS
Klik di sini untuk terus membaca