SESI persekolahan bagi takwim akademik tahun baharu yang bermula pada Mac lalu menyaksikan isu kekurangan kelas melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) di beberapa buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) berpangkalan di Johor. Kesulitan... Klik di sini untuk terus membaca

SESI persekolahan bagi takwim akademik tahun baharu yang bermula pada Mac lalu menyaksikan isu kekurangan kelas melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) di beberapa buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) berpangkalan di Johor.

Kesulitan tersebut menimbulkan kontroversi dan kekecewaan dalam kalangan ibu bapa serta murid-murid di sekolah-sekolah terbabit.

DLP merupakan salah satu program di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Program berkenaan dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) secara rintis pada tahun 2016 melibatkan sebanyak 300 buah sekolah.

Program DLP memberi pilihan kepada sekolah-sekolah yang layak untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, selain bahasa Malaysia bagi mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Objektif pelaksanaan DLP adalah untuk meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris murid melalui peningkatan masa pendedahan kepada bahasa Inggeris semasa PdP Sains dan Matematik.

Dengan ini, ia memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan akses bagi penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat global dan meningkatkan kebolehpasaran dalam alam pekerjaan.

Menurut akhbar harian berbahasa Tamil, Malaysia Nanban, sebanyak lima buah sekolah Tamil di Johor iaitu SJKT Tun Aminah, SJKT Yahya Awal, SJKT Ladang Rini, SJKT Masai dan SJKT Jalan Haji Manan menghadapi masalah kekurangan kelas untuk melaksanakan program DLP.

Dilaporkan, kesemua sekolah tersebut telah diperuntukkan sebuah kelas sahaja untuk mengadakan program tersebut.

Baru-baru ini, Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norliza Noh telah melakukan lawatan ke SJKT Tun Aminah, Skudai untuk meninjau pelaksanaan kelas DLP.

Selain tinjauan, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta guru-guru besar sekolah terlibat bagi memperoleh solusi berkaitan masalah kekurangan kelas DLP.

Malaysia Nanban melaporkan, hasil daripada perjumpaan dan perbincangan itu, kini sejumlah empat buah sekolah Tamil sudah mendapat persetujuan untuk menambah kelas DLP.

Malaysia Nanban menjelaskan, pertambahan kelas DLP di kesemua empat buah sekolah juga telah memuaskan semua pihak.

Berikutan itu, SJKT Tun Aminah akan mengadakan kelas LDP di lima daripada tujuh kelas Tahun Satu.

Diikuti SJKT Yahya Awal pula melaksanakan kelas DLP di tiga daripada empat buah kelas Tahun Satu, SJKT Ladang Rini yang mempunyai lima kelas Tahun Satu pula telah diperuntukkan persetujuan untuk melaksanakan di tiga kelas LDP.

SJKT Masai juga boleh menjalankan kelas DLP di dua daripada empat kelas Tahun Satu. Bagaimanapun, di SJKT Jalan Haji Manan hanya sebuah Tahun Satu dipilih untuk mengadakan kelas DLP.

Dalam pada itu, Norliza menyatakan, selepas ini pada sesi persekolahan baharu pertambahan kelas DLP di sekolah-sekolah Tamil adalah bergantung kepada kredibiliti dan implementasi sekolah-sekolah berkenaan.

Tegas Norliza lagi, masih ada segelintir murid yang kurang mahir untuk mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Tamil serta ibu bapa perlu peka dengan isu tersebut.

Tindakan menambah kelas DLP di empat buah SJKT di Johor sememangnya antara solusi terbaik dalam menunaikan permintaan para ibu bapa dan pihak sekolah.

Ia mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat jelata terhadap KPM dalam usaha memberi pendidikan bertaraf antarabangsa seiring dengan pembangunan zaman teknologi pintar.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca