SHAH ALAM - Nama bekas 10 ‘panglima perang’ atau warlord UMNO yang bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi, masih menjadi tanda tanya.
Bagaimanapun, tiga daripada mereka dikatakan berasal dari Johor.
Menurut sumber, ketiga-tiganya adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam UMNO sebelum ini.
"Tentulah mereka ini orang penting, sebab itu kita panggil warlord. Pengumuman penyertaan mereka akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN akan mengumumkan senarai nama 10 ‘panglima perang’ UMNO yang akan menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.
Hamzah berkata, barisan kepimpinan PN buat masa ini sedang memuktamadkan urusan berkenaan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris juga mendakwa perkara sama, menguatkan lagi dakwaan bahawa 10 ‘panglima perang’ UMNO menyertai PN sebelum PRN.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada Khamis lalu tidak mahu ambil pusing mengenai dakwaan tersebut.
Sebaliknya, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas pemimpin parti itu yang disebut-sebut akan menyertai PN.
Selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar disebut-sebut antara individu yang akan menyertai PN.
Sementara bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula secara rasmi sudah menjadi ahli Pas pada Sabtu lalu.
Klik di sini untuk terus membaca