SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor mengesahkan calon Menteri Besar negeri itu datangnya daripada parti berkenaan sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) itu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor mengesahkan calon Menteri Besar negeri itu datangnya daripada parti berkenaan sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang dijangka diadakan awal Ogos hadapan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, hal ini kerana Bersatu dijangka akan bertanding kerusi pilihan raya dengan jumlah melebihi Pas di Selangor.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang itu menegaskan PN di peringkat Pusat sudah menetapkan bahawa Bersatu akan mengetuai kempen pilihan raya DUN Selangor bagi jentera koalisi itu.

"Dalam soal rundingan kerusi pilihan raya di antara koalisi PN, saya boleh kata 95 peratus sudah siap. Cuma tunggu kata putus beberapa kerusi DUN yang dibincangkan untuk diserahkan kepada sayap bersekutu Bersatu dan Gerakan.

"Di peringkat pusat, Bersatu diberi mandat akan mengetuai jentera pilihan raya PN Selangor. Jadi jika PN menang, pelantikan Menteri Besar Selangor datangnya daripada Bersatu," ujarnya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada PN Selangor sudah memuktamadkan isu pembahagian kerusi pilihan raya dalam kalangan parti-parti koalisi berkenaan, menjelang persediaan mendepani PRN Selangor yang diadakan tidak lama lagi.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menegaskan PN tidak akan menetapkan sebarang calon 'poster boy' di negeri-negeri yang tidak dikuasai koalisi itu pada PRN enam negeri dan menjelaskan keputusan itu bergantung kepada jumlah kerusi dimenangi parti-parti dalam PN.

Sumber terdekat PN memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa nama Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Abdul Rashid sendiri antara disebut-sebut selaku calon Menteri Besar Selangor sekiranya koalisi itu mencipta kejutan pada PRN kali ini.

Sementara itu, Abdul Rashid menegaskan pucuk kepimpinan Bersatu tidak pernah menetapkan konsep satu pemimpin parti itu hanya dibenarkan menyandang salah satu kerusi pilihan raya, sama ada kerusi Parlimen atau DUN.

Ujarnya, setakat ini, parti tidak menghalang mana-mana pemimpin yang menyandang kerusi Parlimen, untuk turut bertanding sebarang kerusi DUN yang dianggap berpotensi menang pada PRN enam negeri ini.

"Dalam Bersatu, tiada konsep satu pemimpin, satu 'seat' (kerusi Parlimen atau DUN). Kalau ada mengatakan konsep itu mungkin digunakan pada PRN enam negeri, itu mungkin gambaran diperoleh daripada pihak luar," katanya.

Abdul Rashid turut berkeyakinan PN mampu merampas negeri Selangor dari tangan PH, hanya sekiranya kesemua 33 kerusi DUN majoriti Melayu daripada keseluruhan 56 kerusi DUN dimenangi koalisi itu.

"Banyak pihak melihat kita sukar menang Selangor kerana negeri ini mempunyai banyak kerusi campuran atau marginal.

"Namun dalam perkiraan kita, kerusi DUN majoriti pengundi Melayu hakikatnya ada 33. Cuma peratusan pengundi Melayu itu berbeza. Sebagai contoh, kerusi DUN 80 peratus pengundi Melayu ke atas kita kategorikan sebagai kerusi A.

"Kerusi majoriti 70 hingga 80 peratus pengundi Melayu kita kategorikan B, 65-69 peratus (kategori C) dan 55 hingga 59 peratus (kategori D).

"Kalau rangkum semua ini, jumlah kerusi DUN majoriti Melayu ada 33 kerusi dan PN mampu menang kesemuanya berasaskan gelombang sokongan Melayu kini kekal kepada kami setelah Barisan Nasional bekerjasama dengan Pakatan Harapan," tambahnya.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Selat Klang pada PRN Selangor, Abdul Rashid menyerahkan keputusan itu kepada pucuk kepimpinan Bersatu dan PN.

"Namun berdasarkan gerak kerja yang telah dilaksanakan pasukan saya sejak sekian lama, nampak gayanya DUN Selat Klang mungkin saya akan pertahankan. Lagipun jentera PN sangat komited untuk membantu saya di samping trend peralihan sokongan penyokong UMNO yang kini tertumpu kepada PN," tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca