SHAH ALAM - Kerajaan disaran memperkenalkan biasiswa Madani bagi membiayai pembelajaran pelajar yang berada dalam kategori miskin.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, perkara tersebut adalah bagi mengatasi masalah keciciran dan menarik minat pelajar yang terpaksa bekerja akibat kemiskinan.
Menurutnya, pembiayaan yang ditaja sehingga tamat pengajian itu perlu mendapat bimbingan dan kawalan oleh agensi tertentu agar pelajar lebih serius dan fokus dalam pelajaran.
"Ini kerana negara bakal mengalami kekurangan modal manusia yang berilmu,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam masa sama, Mohd Faisol berkata, beberapa ikon yang berjaya bangkit dan keluar daripada kemiskinan seterusnya menjadi jutawan atau ahli perniagaan perlu dilantik menjadi duta KPM atau agensi tertentu.
Jelasnya, ia supaya mereka dapat turun ke sekolah untuk memberikan taklimat dan sesi motivasi kepada pelajar-pelajar miskin yang ingin berjaya secara berkala.
"Ini akan membuka minda pelajar untuk membuat sedikit analisis perbandingan terhadap hala tuju kehidupan selepas itu,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, langkah drastik yang boleh dilakukan kerajaan dalam usaha menokhtahkan kemiskinan adalah mewujudkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan murid dan pelajar serta ibu bapa tentang keperluan dan kewajipan menuntut ilmu.
Beliau berkata, kesannya adalah akan melahirkan modal insan negara yang berkualiti tinggi dan mampu menjana pendapatan tinggi pada ekonomi negara.
Isnin lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, Kementerian Pendidikan merekodkan kadar keciciran sekolah menengah lebih tinggi berbanding sekolah rendah kerana kebanyakan pelajar sudah mula bekerja berikutan dihimpit kemiskinan.
Katanya, sehingga Jun 2022, kadar keciciran di seluruh negara di peringkat sekolah menengah mencatatkan sebanyak 0.99 peratus, manakala pada peringkat sekolah rendah adalah 0.07 peratus.
Klik di sini untuk terus membaca