SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mampu menawan Pulau Pinang daripada DAP, biarpun di atas kertas Pakatan Harapan (PH) memiliki peluang lebih cerah untuk mempertahankan status quo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti kerana mereka kini... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mampu menawan Pulau Pinang daripada DAP, biarpun di atas kertas Pakatan Harapan (PH) memiliki peluang lebih cerah untuk mempertahankan status quo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti kerana mereka kini bekerjasama dengan bekas musuh ketat iaitu Barisan Nasional (BN).

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN-Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, biarpun ketika ini PN hanya menguasai lima daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang, namun tidak mustahil mereka mampu merampas pentadbiran Pulau Mutiara daripada DAP.

Khaliq berkata, antara faktor kenapa pengundi Pulau Pinang akan menolak kerajaan pimpinan DAP dan sekutunya ialah kerana kegagalan Kerajaan Perpaduan menangani isu peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang menjejaskan kehidupan rakyat.

"Rakyat juga sudah nampak apabila PH-Barisan Nasional (BN) memerintah negara tiada lagi kemajuan atau 'feel good factor' termasuklah dari segi ekonomi yang semakin teruk, rakyat makin susah sekali gus memberi satu lagi peluang kepada PN untuk mentadbir negara," katanya kepada Sinar Premium.

Pada 6 Mac lalu, empat ADUN pembangkang diarah meninggalkan DUN selepas usul pengosongan empat kerusi berkenaan diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Selain Khaliq, tiga ADUN yang terlibat adalah ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Dengan keputusan itu juga, DUN Pulau Pinang ketika ini hanya memiliki seorang ADUN pembangkang iaitu ADUN Pas, Mohd Yusni Mat Piah.

Khaliq berkata, antara strategi bakal digunakan PN untuk merampas pentadbiran Pulau Pinang ialah dengan menang semua 15 kerusi majoriti Melayu melebihi 50 peratus terutama di Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Balik Pulau dan Batu Maung.

"Jika semua orang Melayu bersatu hati memilih PN dan menolak gabungan PH-BN maka insya-ALLAH kita mampu menang di 15 kerusi DUN berkenaan.

"Kita juga berdoa semoga sokongan rakyat kepada PN masih berterusan seperti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu kerana pengundi sudah muak dengan pelbagai janji manis dibuat oleh pemimpin PH dan BN, namun satu pun belum ditunaikan oleh Kerajaan Perpaduan sekarang," katanya.

Pada PRU15, PN merampas Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor daripada BN dan menewaskan PH di Permatang Pauh, kerusi sinonim dengan keluarga Anwar.

Untuk rekod terdapat sembilan kerusi DUN majoriti Melayu dalam kawasan pilihan raya berkenaan.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan PN memenangi bahagian terbesar sokongan daripada pengundi kali pertama, manakala PH kehilangan undi secara keseluruhan berbanding prestasi mereka pada PRU14 dan secara umumnya, BN juga menyaksikan pengurangan undi.

Di Permatang Pauh misalnya, Pas yang menjadi komponen PN memperoleh 37,600 undi, peningkatan sebanyak 23,200 undi daripada 14,400 yang diraih parti itu pada PRU14. Sebagai perbandingan, BN kehilangan 2,895 undi dan PH kehilangan 3,168 undi.

Di Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh 16,225 undi baharu manakala BN hanya berjaya meraih 317 undi baharu berbanding PRU14.

Lima lagi kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang adalah bawah Parlimen Batu Kawan dan Balik Pulau.

Di Balik Pulau, majoriti PH berkurangan daripada 6,464 kepada 1,582 undi dan PN, walaupun kalah, berjaya meningkatkan bahagian undinya daripada 5,298 kepada 22,892.

Sementara itu, biarpun pernah dipecat daripada menjadi wakil rakyat susulan penguatkuasaan undang-undang anti lompat parti, namun, ia tidak mematahkan semangat Khaliq untuk kembali mempertahankan kerusi DUN Bertam jika direstui oleh pucuk pimpinan Bersatu dan PN, pada PRN akan datang.

Bahkan kata Khaliq, PN juga mampu memenangi semula tiga lagi kerusi yang dikosongkan iaitu Sungai Acheh, Seberang Jaya dan Telok Bahang.

Khaliq juga menjelaskan, biarpun ramai bersikap skeptikal dan mendakwa kemenangannya di kerusi DUN Bertam sebelum ini adalah kerana undi penyokong PH, namun hakikat sebenarnya berbeza.

"Apa yang penting walaupun saya keluar daripada PH pada 2020 dan menjadi ADUN PN, namun rakyat boleh melihat sama ada saya menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik atau tidak.

"Saya sudah membuat sebaik mungkin dan rakyat Bertam boleh melihat dengan mata mereka sendiri apa yang saya buat termasuk menjaga kebajikan mereka ketika pandemik Covid-19 melanda negara serta membawa kemajuan. Jadi saya berpandangan rakyat menilai kami berdasarkan sumbangkan dan kesungguhan kita bukan kerana parti semata-mata," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca