BARBATE - Sekumpulan ikan paus pembunuh telah merempuh ratusan bot kecil di luar pantai Sepanyol sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam tingkah laku 'mengerikan' yang membingungkan saintis.
Malah, dalam beberapa kes mamalia laut itu seolah-olah cuba membuat provokasi.
Minggu lalu, seekor paus pembunuh melompat dari permukaan laut dan menyelam di antara dua bot kecil.
Insiden itu berlaku ketika bot-bot tersebut merentasi Selat Gibraltar dalam perjalanan menuju ke Greece.
"Pada mulanya ia kelihatan seperti mahu bermain-main. Tetapi beberapa minit kemudian ia mula membawa beberapa rakannya.
"Lebih kurang lima hingga enam daripada paus itu mula merempuh bot kami," kata Amy, salah seorang kru di atas bot berkenaan.
Bagaimanapun, Amy mengakui tidak berasa takut tanpa menyedari bahawa terdapat ratusan insiden serupa di kawasan sama dengan beberapa kes menyaksikan bot rosak dan karam.
Namun, setakat ini tiada kematian manusia direkodkan sejak paus pembunuh dilaporkan merempuh bot kecil di luar pantai Sepanyol.
Serang tanpa sebab
Sementara itu, seorang pemilik bot layar, Friedrich Sommer berkata, paus pembunuh terus menyerang bot-bot kecil tanpa sebab yang jelas.
Sommer berkata, bot layar jenis Muffet miliknya turut dirosakkan pada awal tahun ini oleh tiga atau empat paus pembunuh.
"Ia tidak berenang di sekeliling bot, sebaliknya ikan-ikan ini berenang dengan kelajuan tinggi dan terus merempuh bot sehingga menyebabkan kerosakan pada sistem kemudi," katanya.
Warga Jerman itu kini sedang menunggu bot layarnya dibaik pulih di Barbate, sebuah bandar tepi pantai di wilayah Cadiz di selatan Sepanyol.
Pengurus limbungan kapal, Rafael Pecci mengakui insiden paus pembunuh merempuh bot semakin meningkat sambil memaklumkan pihaknya kini sibuk membaiki sebuah lagi bot layar yang diserang oleh mamalia laut tersebut.
Serangan bermula pada 2020 dan ia berlaku di kawasan antara Cadiz dan pelabuhan Tanger di utara Maghribi, berhampiran Selat Gibraltar.
Paus tertarik ke perairan berkenaan kerana terdapat pemangsa kegemarannya iaitu ikan tuna sirip biru.
Setakat tahun ini, pengawal pantai Sepanyol telah merekodkan 28 'interaksi' antara paus itu dan bot kecil atau perahu layar.
Antara 2020 dan 2022, terdapat hampir 500 insiden sedemikian, menurut data yang dikeluarkan oleh Atlantic Orca Working Group.
Jose Luis Garcia Varas yang mengetuai program lautan di WWF Sepanyol memberitahu AFP bahawa sangat sedikit yang diketahui tentang punca interaksi ini.
Satu teori ialah seekor paus pembunuh diberi nama White Gladis mengalami pengalaman buruk dengan bot dan perahu layar pada masa lalu dan kini mengajar paus pembunuh lain untuk menyerang kapal secara bergilir-gilir.
White Gladis ialah ketua kumpulan paus pembunuh yang telah dipersalahkan atas beberapa serangan bot.
"Paus pembunuh berorientasikan kumpulan, mereka sangat pintar dan mampu menyampaikan pengetahuan secara lisan," kata Garcia Varas.
Ahli biologi marin, Monika Wieland Shields pula percaya rempuhan itu sebagai tindakan membalas atas ketidakadilan di laut yang menyaksikan ikan paus pembunuh dicederakan setiap kali bertembung dengan manusia.
Malah katanya, pencemaran bunyi di Selat Gibraltar yang menjadi antara lalu lintas perkapalan paling sibuk menyebabkan ketidakselesaan dan memberi tekanan kepada paus pembunuh yang turut bersaing dengan nelayan komersial dalam memburu ikan tuna sirip biru yang menjadi sumber utama makanannya.
Main kasar
Dalam pada itu, ahli biologi, Renaud de Stephanis dari kumpulan pemuliharaan CIRCE yang menyiasat kes pertembungan paus pembunuh dengan bot berkata, pelanggaran yang disengajakan itu mungkin dianggap sebagai satu bentuk permainan oleh mamalia tersebut.
"Jika ia benar-benar mahu menyerang, kerosakan pada bot atau perahu layar pasti lebih besar.
"Namun, dalam kes rempuhan ia hanya menyasarkan bahagian penting seperti sistem kemudi atau tiang bot," katanya.
Pun begitu, de Stephanis menegaskan ia bukannya kesimpulan muktamad mengenai serangan ikan paus pembunuh terhadap bot-bot kecil. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca