SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas melibatkan pelbagai kementerian dan agensi bagi mengkaji serta menyelesaikan masalah keciciran pelajar sekolah yang semakin ketara. Pensyarah Kanan Pusat Kajian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas melibatkan pelbagai kementerian dan agensi bagi mengkaji serta menyelesaikan masalah keciciran pelajar sekolah yang semakin ketara.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ini kerana isu keciciran pelajar bukan sahaja disebabkan oleh kemiskinan, malahan terdapat pelbagai faktor lain menyebabkan perkara tersebut berlaku.

Menurutnya, antara kementerian yang perlu terlibat adalah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menurut Anuar, pemberian bantuan persekolahan bagi membantu dan menarik minat pelajar untuk hadir serta belajar di sekolah bukanlah satu langkah penyelesaian yang menyeluruh.

Katanya, perkara itu tidak menyelesaikan masalah utama iaitu kemiskinan keluarga pelajar tersebut.

"Kita bersetuju kerajaan beri bantuan kepada anak miskin sama ada dalam biasiswa, bentuk wang awal persekolahan, buku, pakaian dan sebagainya.

"Bagaimanapun, prinsip awal kepada isu keciciran ini bukan kerana hanya mereka tidak mampu (ke sekolah) tetapi disebabkan tuntutan keluarga yang lebih mendesak sehingga anak-anak terpaksa tinggalkan sekolah untuk mula bekerja bagi menyara ibu bapa, keluarga.

"Pada saya, walaupun banyak bantuan kita bagi pada anak-anak dalam bentuk persekolahan, pasti akan berlaku juga keciciran,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, selain daripada kemiskinan, keciciran pelajar juga berlaku disebabkan tidak fokus dengan hala tuju jelas dalam sektor pendidikan.

Menurutnya, sebagai contoh, terdapat pelajar yang bukan dari kalangan tidak berkemampuan telah keciciran disebabkan tiada kemahiran membaca, mengira, menulis dengan baik.

"Mereka hilang fokus dan motivasi dan tidak semangat atau berminat untuk teruskan pendidikan. Mereka bukan dari keluarga sangat miskin, tetapi sebab tiada kemahiran ini akhirnya mereka tinggalkan alam persekolahan,” katanya.

Selain itu, Anuar berkata, jawatankuasa khas tersebut perlu mengkaji dan melihat kawasan atau daerah yang banyak berlaku keciciran pelajar.

Menurutnya, terdapat satu fenomena baharu iaitu keciciran berlaku dalam kalangan murid sekolah menengah di kawasan bandar raya.

"Murid tinggalkan sekolah dan mula bekerja sebagai penghantar barangan atau makanan. Ini juga fenomena mesti diuruskan dan ditangani oleh kerajaan.

"Mereka lebih suka untuk bekerja sebagai rider dan pelbagai pekerjaan yang menawarkan gaji secara upah harian,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca