PERISTIWA itu berlaku semasa saya masih muda remaja. Ketika sedang belajar di Kelantan. Ketika sudah pandai mengagumi kecantikan gadis-gadis di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Ketika hanya pandai melihat mereka dengan ekor mata sebab setiap kali hendak menyapa jantung terasa gugur ke tempurung lutut.
Hari itu saya ke Kota Bharu. Ada benda perlu dibeli. Ketika hendak balik ternampak seorang budak termenung di suatu sudut stesen bas. Lain macam keadaannya. Tampak jelas resah gelisah. Cemas dan gusar pun ada. Disebabkan dia lelaki, saya beranikan diri untuk bertanya. Kalau perempuan, belum tentu saya berani masuk dekat.
Yang terlintas di fikiran saya ketika itu dia mungkin tidak cukup wang tambang. Mungkin dompetnya hilang. Mungkin dia terlajak berbelanja. Atau bukan mustahil juga dia kena scam.
Jangan terkejut, walaupun pada masa itu istilah scam dan scammer belum digunakan dalam kalangan orang kita, namun perbuatannya telah pun sedia ada. Begitulah hebatnya mereka, sentiasa mendahului zaman.
"Saya tak berani balik ke rumah, bang. Tapi saya tak tahu nak ke mana?” itu jawapannya selepas ditanya.
Pada mulanya dia agak segan memberitahu sebab musababnya. Tetapi selepas dipujuk-pujuk dia akhirnya bercerita. Rupa-rupanya dia antara pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keputusannya diumumkan pada hari itu. Dengan teragak-agak dia tunjuk salinan keputusannya. Memang dia tidak berbohong. Agregatnya kalau dijumlahkan seolah-olah sama banyak dengan bintang di langit.
"Keluarga tidak mengharapkan saya lulus cemerlang, bang. Mereka hanya mahu saya lulus, nanti boleh minta kerja jadi polis atau kerani. Boleh bantu keluarga,” ada hiba di matanya. Ada sayu di hati saya.
Dia hanyalah secebis daripada sekian banyak contoh. Setiap tahun terlalu ramai yang berkeadaan sama, atau lebih teruk daripadanya. Bukan tidak ada yang cuba membunuh diri, lari dari rumah, murung, malah terjebak dengan dadah kerana gagal mengurus kegagalan yang dihadapinya.
Keadaan mereka tentu sahaja jauh berbeza daripada yang berjaya. Ada kawan saya yang mendapat gred dua hujung-hujung ranting sahaja selama dua minggu lebih kerjanya cuma menayang salinan keputusan SPMnya kepada semua kawan rakan dan sahabat handai.
Mujurlah gred dua, jika gred satu mungkin habis semua pintu rumah di Sungai Besar, Sabak Bernam hingga ke Kuala Selangor akan diketuknya semata-mata untuk menayang salinan keputusan peperiksaan itu.
Berbalik pada pelajar yang saya temui di stesen bas Kota Bharu itu. Saya hanya mampu memberikan kata-kata perangsang kepadanya. Kami terus berhubung setahun dua selepas itu, sekali sekala melalui telefon tetapi selalunya dengan e-mel.
Walau bagaimanapun mungkin disebabkan dia tidak ada kakak, hubungan kami terputus begitu sahaja. Hanya selepas lebih dua dekad barulah kami bertemu semula secara kebetulan dalam sebuah majlis di ibu kota. Ketika itu dia telah memperoleh PhD sedangkan saya baru berkira-kira untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat itu.
Demikianlah aturan hidup ini. Sebab itu, kepada ibu bapa terutamanya, jangan dinilai pokok ketika ia baru tumbuh. Yang kelihatan layu belum tentu akan mati kalau dibaja dengan baik, yang tampak subur pula belum tentu akan berbunga dan berbuah.
Ramai ibu bapa yang terlalu menekankan kejayaan dalam pelajaran kepada anak-anak mereka. Memang itulah yang sebaik-baiknya.
Tetapi yang selalu menjadi masalah adalah harapan itu diletak tanpa mengambil kira upaya dan kehendak anak-anak.
Mereka sering lupa bahawa manusia dilahirkan dengan tahap kemampuan, minat dan kecenderungan yang berbeza.
Sebab itu bagi saya, mengenali anak-anak secara dekat itu penting supaya kita dapat padankan kehendak kita dengan kehendak mereka.
Terlalu ramai anak-anak yang tertekan kerana berusaha memenuhi kehendak ibu bapa walhal kehendak itu jauh bertentangan dengan kehendak mereka. Si anak mahu menjadi ahli perniagaan, si emak bapa mahu anak menjadi pegawai kerajaan. Akhirnya yang terhasil mungkin pegawai yang menjual apa sahaja harta kerajaan.
Mungkin saya silap, tetapi saya lebih suka melihat setiap individu itu digilap berdasarkan minat dan potensinya.
Berdasarkan pengalaman, individu yang berjaya digilap itu lazimnya lebih berdedikasi dalam bidang yang dilibati dan lebih stabil emosinya berbanding dengan mereka yang berada di situ kerana terpaksa.
Keputusan SPM 2022 menunjukkan lebih 70,000 calon gagal mendapat sijil. Tetapi percayalah setiap mereka mempunyai potensi untuk digilap dan kalau gilapannya betul mereka akan mampu menyumbangkan ‘wow’ kepada kehidupan ini. Maksud saya ‘wow’ yang sebenar bukannya ‘wow, hari-hari ada saja barang yang naik harga!’ #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca