KOTA BHARU - Kesulitan mendapatkan pengangkutan untuk ke sekolah hingga kerap kali terpaksa berjalan kaki dalam keadaan cuaca panas dan hujan menyebabkan seorang pelajar Tingkatan Satu berhenti sekolah.
Remaja itu, Mohd Amin Mohd Zain, 13, hanya tamat darjah enam di Sekolah Kebangsaan Seribong dan berhenti bersekolah sejak awal tahun ini.
"Waktu di sekolah rendah perlu berjalan kaki balik dan pulang sejauh lebih dua kilometer. Kadangkala saja kakak ambil dengan motosikal.
"Kalau sambung sekolah menengah, saya perlu berjalan kaki sejauh lebih lima kilometer untuk pergi dan pulang setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Anak kesembilan daripada 11 beradik itu bagaimanapun masih menyimpan harapan untuk kembali menimba ilmu dan tidak mahu terus mengikut jejak langkah kakaknya, Nur Ayuni, 15, yang juga berhenti sekolah di tingkatan dua sejak tahun lalu kerana kesusahan sama.
"Saya malu dan takut diejek kawan-kawan. Dulu saya bawa wang saku RM2 hingga RM4 dan pada hari tak ada duit, saya terpaksa ponteng.
"Saya nak ke sekolah semula. Cuma ibu bapa kurang mampu kalau nak gunakan pengangkutan van atau upah orang sekitar RM50 hingga RM60 sebulan,” katanya.
Menurut ibunya, Rogayah Ismail, 51, kesukaran hidup dialami keluarga mereka bertambah apabila ketua keluarga itu, Mohd Zain Mohd Hasan, 65, mengalami rabun hingga membataskan pergerakan.
"Dia sudah tidak dapat bekerja sebagai tukang kayu seperti sebelum ini. Saya pula hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan tidak tetap sebanyak RM50 sehari. Kalau tak larat atau tidak sihat saya tidak bekerja.
"Saya juga mengambil upah menggulung sarung jari getah dan dibayar RM1.20 sekilogram atau RM30 sebulan,” ujarnya.
Kata Rogayah, mereka tidak mempunyai kereta dan hanya ada sebuah motosikal, namun dia tidak pandai untuk membawanya manakala anak-anak yang lain sudah berkahwin serta tinggal berjauhan di negeri lain selain ada yang masih tinggal bersamanya kerana tidak mempunyai pekerjaan.
"Saya memang ingin anak-anak kembali bersekolah dan akan mencari jalan terbaik kerana saya juga menerima bantuan RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya masih ada anak yang bersekolah darjah lima dan menemaninya berjalan kaki untuk ke sekolah,” tambah Rogayah yang tinggal di rumah pemberian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan selepas rumah kayu asalnya runtuh empat tahun lalu.
Isnin lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying mendedahkan pelajar daripada keluarga miskin lebih memilih untuk bekerja demi menyara hidup keluarga dan ia menjadi punca utama mereka mengalami keciciran pelajaran.
Katanya, kadar keciciran membabitkan murid sekolah rendah adalah 0.07 peratus, manakala 0.99 peratus membabitkan pelajar sekolah menengah.
Berhenti sekolah untuk jaga ayah sakit, bantu ibu
Sementara itu di Pontian, Johor, seorang remaja di Batu 35, di sini membantu menyara keluarga dengan bekerja di bengkel kereta ketika rakan seusianya gembira memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun
Remaja lelaki yang mahu dikenali sebagai Azli, 18, berkata, dia berhenti sekolah sejak tiga tahun lalu untuk menjaga ayahnya yang sakit terlantar akibat kanser otak.
"Ayah bekerja operator pengeluaran kilang, bagaimanapun pada tahun 2018, ayah mula tidak sihat dan penglihatan kabur. Dua tahun kemudian ayah terlantar dan disahkan menghidap kanser.
"Saya ambil keputusan untuk menjaga ayah dan uruskan segala keperluan hariannya. Ketika itu saya di tingkatan tiga dan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)akibat Covid-19," katanya.
Ibunya, Badariah berkata, selepas kematian ayah pada hujung 2020, Azli menjadi pendiam dan tidak mahu meneruskan persekolahan.
"Azli kerap ke kubur arwah ayahnya. Saya ada pujuk dia agar ke sekolah tetapi Azli hanya mendiamkan diri.
"Walaupun tidak banyak bercakap, Azli faham tanggungjawabnya, dia tidak pernah buat saya susah hati dan sentiasa membantu. Malah dia juga jarang keluar melepak dengan kawan-kawan," katanya.
Badariah berkata, selain menerima bantuan Perkeso, dia juga mengambil upah menjahit.
"Azli kini bekerja di sebuah bengkel dan ada berikan saya wang untuk membantu dua adiknya yang masih sekolah.
"Saya sentiasa berdoa agar Azli akan meneruskan pelajaran sekurang-kurangnya dapat sijil SPM. Saya selalu berpesan supaya dia tidak putus asa," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca