PALESTIN menzahirkan kebimbangan terhadap rang undang-undang (RUU) kontroversi yang merancang mahu membahagikan Masjid al-Aqsa.
Ia turut menuntut sokongan Turkiye, Malaysia, Indonesia dan Mesir untuk menghalang pelaksanaan undang-undang tersebut yang dikhuatiri akan meningkatkan lagi ketegangan di Baitulmaqdis.
Bantahan itu disuarakan Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh yang memberi amaran tegas terhadap RUU tersebut yang dicadangkan anggota Parti Likud, Amit Halevi dan bakal dibentangkan di Knesset (Parlimen) dalam tempoh terdekat.
"Langkah pembahagian seperti itu hanya akan membangkitkan kemarahan Muslim dan kesannya sukar diramalkan kerana ia jelas mencemari kesucian al-Aqsa.
"Saya menggesa negara Arab dan komuniti antarabangsa supaya menghalang tindakan yang mahu mengubah status al-Aqsa pada masa depan.
"Israel perlu menghentikan sebarang bentuk pelanggaran terhadap tempat suci orang Islam dan Kristian di Baitulmaqdis,” katanya ketika berucap pada pembukaan sesi kabinet di Ramallah pada awal minggu lalu.
Menerusi cadangan dikemukakan Halevi, beliau mahu memperuntukkan kawasan pekarangan dari Masjid Kubah Batu hingga ke bahagian utara sempadan Al-Aqsa untuk orang Yahudi.
Rancangan sedemikian bagaimanapun dikhuatiri akan membawa konflik politik Israel-Palestin kepada perang agama lebih besar, sekali gus mencetuskan keganasan lebih meluas di wilayah Palestin.
Jordan selaku penjaga masjid ketiga paling suci orang Islam itu turut menentang sebarang bentuk ‘gangguan’ atau perubahan yang mahu dilakukan pihak berkuasa Israel ke atas al-Aqsa.
Penasihat Presiden untuk Hal Ehwal Baitulmaqdis, Ahmed al-Ruwaidi mengecam pelan itu yang disifatkan sebagai satu lagi rancangan jahat Israel untuk menguasai dan menduduki Baitulmaqdis Timur.
"Kerajaan berhaluan kanan Israel sedang cuba mengehadkan peranan Palestin di Baitulmaqdis dengan menyasarkan institusi dan pemimpin serta penjaga tapak suci Islam dan Kristian. Israel perlu menghormati peranan Amman,” tegasnya.
Menurutnya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah memberi lampu hijau kepada menteri ‘ekstremis’ seperti Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich untuk menceroboh al-Aqsa serta mengeluarkan kenyataan provokasi rasis yang menyinggung perasaan penduduk Palestin serta orang Islam di seluruh dunia.
"Netanyahu sengaja menggunakan isu al-Aqsa untuk meraih kemenangan politik selepas beliau kembali memegang tampuk kepimpinan. Jika perang agama tercetus, semua orang akan menerima kesannya,” ujarnya lagi. - Agensi
INFO
- RUU untuk membahagikan al-Aqsa akan mengubah identiti Islam dan Muslim hanya dibenarkan berada di Dewan Solat al-Qibli. Keadaan itu sama seperti Masjid Ibrahimi di Hebron yang turut dibahagikan dan memperuntukkan 75 peratus ruang untuk orang Yahudi manakala hanya 25 peratus untuk Muslim.
- Rancangan Halevi bakal menggugat status quo al-Aqsa yang akan memperluaskan kawalan Israel ke atas masjid itu.
- RUU itu juga bakal membenarkan orang Yahudi memasuki kompleks tersebut dari semua pintu berbanding hanya Pintu Maghribi yang berada di bawah kawalan penuh pihak berkuasa Israel dan tidak boleh diakses penduduk Palestin.
Klik di sini untuk terus membaca