AHLI sains politik sering membahagi-bahagikan sistem parti sesebuah negara mengikut tempoh. Saya ingin cuba membuat pembahagian tempoh untuk evolusi dan transformasi UMNO yang berusia 77 tahun untuk menerokai masa depannya. UMNO 1.0 bermula... Klik di sini untuk terus membaca

AHLI sains politik sering membahagi-bahagikan sistem parti sesebuah negara mengikut tempoh.

Saya ingin cuba membuat pembahagian tempoh untuk evolusi dan transformasi UMNO yang berusia 77 tahun untuk menerokai masa depannya.

UMNO 1.0 bermula dengan penubuhannya pada 1946 dan berakhir dengan rusuhan 13 Mei.

Di bawah pimpinan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, UMNO menjadi tunggak kerajaan sejak 1955 tetapi dominasinya terhad.

UMNO 2.0 bermula dengan pengambilalihan kuasa oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selepas 13 Mei.

Dominasi UMNO 2.0 dalam politik tanah air ditetapkan sehingga UMNO itu seolah-olah seperti kerajaan dan Malaysia sebuah negara eka-parti sungguhpun pilihan raya tetap berlaku setiap empat atau lima tahun.

Dua projek besar UMNO 2.0 ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 yang mengukuhkan sokongan pengundi Melayu dan juga penubuhan Barisan Nasional (BN) pada 1974 yang menyekat pengembangan parti pembangkang dengan berkongsi kuasa atas syarat tetapan UMNO.

UMNO 2.0 berakhir dengan pembatalan pendaftarannya pada 1988 selepas kemenangan tipis Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Tengku Razaleigh Hamzah, dan UMNO baru yang didaftarkan oleh Dr Mahathir boleh dikira sebagai UMNO 3.0.

Sungguhpun paradigma DEB dan institusi BN terus berfungsi, UMNO 3.0 berlainan sekali dengan UMNO 2.0 dalam pemusatan kuasa dalaman, mengikut acuan cita rasa Dr Mahathir.

Perebutan kerusi Presiden tidak lagi mungkin sehingga kejatuhan UMNO pada 2018.

Pencabar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin semua dipecat daripada parti.

Perebutan kerusi Presiden juga sekali lagi tidak dibenarkan selepas kekalahan UMNO pada 2022.

Sudahkah UMNO 3.0 berakhir dengan kekalahan BN pada 2018? Jika ya, apakah ciri-ciri UMNO 4.0?

Jika tidak, apakah masa depan UMNO 3.0 yang kini hanya parti nasionalis Melayu-Muslim ketiga besar di belakang Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti-parti serpihannya yang dibentuk pada 1951 dan 2016?

Sama ada UMNO 4.0 itu wujud bergantung kepada apa bentuk dan peranan yang boleh dimainkan oleh sebuah parti nasionalis Melayu-Muslim yang kebanyakan masanya memilih untuk berpakat dengan parti-parti majmuk, tetapi kini hilang dominasinya.

Apakah pilihan realistik untuk UMNO 3.0 mentransformasikan dirinya sebagai UMNO 4.0?

Pertama, bergabung dengan parti serpihannya Bersatu malah Pas untuk mencapai perpaduan Melayu.

Tetapi, kalau dahulu bagaikan duduk serumah lain bilik, semasa kerajaan Muhyiddin dan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri, tiga adik-beradik ini pun bergaduh kerana cintakan gadis yang sama (pengundi nasionalis Melayu-Muslim), mungkinkah mereka kasih-mengasihi jika duduk sebilik dan tidur sekatil?

Kedua, UMNO tetap menjadi Abang Ngah dalam kerajaan Madani dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai Abang Long dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti Sabah sebagai adik-adik.

Ini bermakna, berapa kerusi yang dapat UMNO bertanding dalam PRU16 sampai PRU26 pun ditetapkan secara perundingan dengan PH. Dapatkah UMNO terima skrip yang dahulunya ditulis untuk MCA?

Ketiga, UMNO akan bersaing dengan Perikatan Nasional (PN) dan PH dalam PRU16, dan bersedia membentuk kerajaan campuran berasaskan keputusan pilihan raya.

UMNO menerima hakikat dominasinya sudah berakhir tetapi akan berdaya saing untuk menjadi Abang Long atau Abang Ngah mengikut kebolehannya memikat hati rakyat.

Ini memerlukan reformasi institusi yang meluas yang kita boleh bincang dalam kolum minggu depan.

Istana lama membawa kemegahan,

Kondo baru lebih mudah didiami.

Cita biar setinggi Gunung Tahan,

Hati biar serendah bumi.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca