SUDAH menjadi rutin saban tahun, keputusan SPM diumumkan di seluruh negara dengan berbagai pencapaian yang memberangsangkan di setiap sekolah dan pelajar.
Namun di sebalik kejayaan sebahagian besar pelajar, masih banyak aspek yang perlu dikaji dari sudut dasar pendidikan negara yang telah dilaksanakan selama ini.
Isu dan permasalahan pembinaan jati diri bangsa Malaysia di alaf baru dan digitalisasi berserta nilai kenegaraan, kekurangan pelajar aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), bebanan kerja guru, cabaran pendidikan di era 4IR.
Kini satu lagi trend yang baru setelah pasca pandemik serta ledakan ekonomi gig, telah melihatkan lebih separuh daripada lepasan SPM tidak berminat dan tidak mahu menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.
Berdasarkan laporan, seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Apakah faktor dan kesan jangka panjang kepada negara jika trend ini berterusan.
Beberapa faktor telah mempengaruhi minat pelajar untuk sambung belajar.
Pertama ledakan maklumat di alam maya serta pendedahan kejayaan ekonomi gig yang meluas.
Ini secara langsung memberi kesan dan impak terutama kejayaan pendapatan yang agak lumayan di awal usia.
Tambahan pula kerjaya dalam ekonomi gig sangat besar dan fleksibel.
Peluang yang meningkat ini menyebabkan pekerja kini boleh bekerja dari rumah atau lokasi lain.
Ini membolehkan individu yang mempunyai tanggungjawab keluarga atau kewajipan lain untuk menjadualkan waktu kerja mereka dengan lebih fleksibel.
Namun apa yang gagal diketengahkan adalah kesan jangka panjang dan statistik kegagalan dalam kerjaya ekonomi gig ini.
Malah mengikut laporan lebih dua pertiga atau lebih 1,700 daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu adalah membabitkan kumpulan penunggang perkhidmatan p-hailing.
Faktor kedua adalah kos pembelajaran serta hutang PTPTN yang terpaksa ditanggung oleh pelajar.
Mengikut statistik, sebanyak RM40 bilion diperlukan untuk memenuhi keperluan operasi tahunan pada tahun 2019. Jumlah ini akan meningkat setiap tahun.
Kesan ini lebih ketara dengan faktor ketiga iaitu gaji yang rendah serta kos sara hidup yang tinggi sedangkan menerima kadar gaji yang tidak seimbang.
Seterusnya apakah kesan jangka panjang kepada negara adalah kemungkinan kekurangan tenaga pakar di dalam pasaran kerja negara.
Menurut laporan daripada MOSTI, Malaysia masih memerlukan sekurang-kurangnya graduan berkemahiran tinggi sebanyak 49 peratus.
Pihak kementerian telah melaksanakan dasar 60:40 untuk menambah bilangan pelajar yang menyertai bidang STEM.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini telah menghadapi pelbagai cabaran kerana peratusan pelajar dalam bidang STEM belum mencapai sasaran 60 peratus.
Laporan Kementerian Pendidikan pada 2020 menunjukkan hanya 47.18 peratus pelajar peringkat menengah atas di seluruh negara yang memilih bidang STEM sedangkan Kajian Nasional mengenai Modal Insan (2012), Malaysia memerlukan lapan juta pekerja dalam bidang STEM menjelang 2050.
Pada peringkat global, Forum Ekonomi Dunia (WEF) melaporkan bahawa 75 juta bidang pekerjaan semasa akan digantikan dengan mesin dan aplikasi algoritma, manakala 133 juta bidang pekerjaan baharu akan wujud; di mana pewujudan pekerjaan baharu dijangka berkembang daripada 16 peratus kepada 27 peratus menjelang 2022.
Bidang pekerjaan yang dijangka semakin meningkat termasuk penganalisis data saintis; kecerdasan buatan (AI) dan pakar pembelajaran mesin, penganalisis perisian dan aplikasi, pakar big data, pakar transformasi digital dan pakar perkhidmatan teknologi maklumat.
Sebagai tenaga akademik di institut pengajian tinggi negara, berikut adalah beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi trend minat pelajar di sekolah.
Langkah awal seperti kempen kesedaran dan wacana ilmiah serta prospek kerjaya digiatkan di peringkat sekolah.
Satu jawatankuasa khas di peringkat Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi perlu ditubuhkan bagi mengkaji dan mencadangkan langkah drastik menangani isu kekurangan pelajar di bidang STEM dan 4IR.
Pihak KPT juga hendaklah meningkatkan penawaran bidang TVET di dalam STEM dan 4IR ini serta konsep pembelajaran sepanjang hayat digalakkan di kalangan masyarakat.
* Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman ialah Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI)
Klik di sini untuk terus membaca