KEHANGATAN bahang pilihan raya negeri (PRN) kini semakin terasa apabila semua gabungan parti bertanding sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mahu pun Perikatan Nasional (PN), kini sibuk memuktamadkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal ditandingi mereka nanti.
Jadi tidak hairan jika gabungan PH dan BN masih berunding untuk memuktamadkan senarai 56 kerusi DUN di Selangor pada PRN di enam negeri nanti.
Terkini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan, PH dan BN masih gagal mencapai kata sepakat dalam rundingan membabitkan tiga daripada 56 kerusi DUN yang bakal ditandingi mereka di Selangor, pada PRN tidak lama lagi.
Berikutan itu, sumber mendedahkan, tiga kerusi yang masih menjadi perebutan antara BN dan PH di Selangor adalah kerusi DUN Jeram di bawah Parlimen Kuala Selangor dan dua kerusi DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor iaitu DUN Hulu Bernam serta Batang Kali.
Sumber berkata, kerusi DUN Jeram dan Hulu Bernam kini menjadi tuntutan antara UMNO dengan Parti Amanah Negara (Amanah), manakala kerusi DUN Batang Kali pula antara PKR dengan BN (dipercayai MCA).
"UMNO berdepan masalah untuk menyakinkan penyokong tegar dan ahlinya supaya menyokong calon PH pada PRN nanti jika BN tidak diperuntukkan jumlah kerusi seimbang dengan parti lain.
"Isu kedua, kombinasi gabungan parti dalam sesuatu kawasan memainkan peranan penting. Misalnya di Kuala Selangor ada tiga DUN iaitu Melawati, Jeram dan Ijok. PKR menang Ijok dan Melawati, manakala kerusi Jeram dulunya milik Bersatu," kata sumber berkenaan sewaktu dihubungi Sinar Premium.
Untuk rekod, pada 16 Februari lalu, DUN Selangor mengisytiharkan kekosongan kerusi Batang Kali, berikutan wakil rakyat berkenaan, Harumaini Omar dari Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) gagal hadir diri tanpa kebenaran, semasa persidangan DUN melebihi enam bulan, iaitu sejak 28 Julai tahun lalu.
Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, pengisytiharan itu mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan akan menghantar makluman pengisytiharan kekosongan kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Harumaini adalah calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang kerusi DUN Batang Kali pada PRU14 atas tiket PKR selepas beliau memperoleh 21,536 undi atau majoriti 8,315 undi dengan menewaskan penyandang dari BN, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (13,221 undi) dan calon Pas Md Hasnizan Harun (7,408 undi).
Bagaimanapun, apabila Bersatu meninggalkan PH pada Februari 2020, Harumaini enggan menyertai langkah itu, sebaliknya menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Kerusi DUN Hulu Bernam pula dimenangi oleh calon BN, Datuk Rosni Sohar yang mendapat 8,164 undi atau majoriti tipis hanya 20 undi menewaskan wakil PKR, Amran Sakir (8,144 undi) dan calon Pas, Mohammed Salleh Ri (2,554 undi) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Manakala, DUN Jeram pula ketika ini disandang oleh Mohd Shaid Rosli dari Pejuang yang memenangi kerusi berkenaan pada PRU14 atas tiket PKR dengan memperolehi majoriti 1,191 undi menewaskan calon BN, Zahar Azlan Ariffin (5,896 undi) dan wakil Pas, Mohd Noor Mohd Shahar (4,326 undi).
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo pula berkata, beliau difahamkan BN berhasrat bertanding di 10 kerusi DUN di Selangor pada PRN nanti termasuk tiga kerusi yang masih menjadi pertikaian dengan PH terutama Amanah dan PKR termasuk satu kerusi DUN di bawah Parlimen Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu berkata, isu terbesar dihadapi BN-UMNO di Selangor adalah kerjasama dengan PH terutama DAP yang belum masih boleh diterima oleh ahli dan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi.
Malah, Mohamad Khir menjelaskan sehingga kini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara pemimpin UMNO dan PH terutama DAP di Selangor berhubung isu pembahagian kerusi mahu pun strategi pilihan raya, biar pun tarikh pembubaran DUN semakin hampir.
"Keadaan itu semakin serius apabila hanya pemimpin UMNO yang beria-ria mahu menjalinkan kerjasama dengan PH dan DAP sedangkan mereka tidak berminat berbuat demikian.
"Ini kerana majoriti pemimpin PH dan DAP yakin mereka tetap boleh menang semua kerusi ditandingi dan mempertahankan status quo pemerintahan kerajaan negeri Selangor dalam PRN nanti biarpun tanpa sokongan penyokong UMNO/BN," katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Khir berkata, keadaan BN adalah sebaliknya apabila mereka memerlukan undi penyokong PH terutama PKR dan Amanah untuk menang kerusi PRN nanti.
"UMNO juga mungkin berhadapan dengan undi protes daripada pengundi India dan Cina yang menyokong MCA dan MIC susulan banyak keputusan dibuat didapati membelakangi mereka selaku sekutu dalam BN," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca