KUALA SELANGOR - Seorang pelajar Tingkatan Tiga mengakui terpaksa ponteng sekolah tiga atau empat kali seminggu berikutan ‘ketagih’ menonton YouTube hingga awal pagi.
Norman (bukan nama sebenar), 15, berkata, setiap hari dia menonton pelbagai video di platform berkenaan hingga menyukarkannya bangun pada awal pagi untuk ke sekolah.
"Saya hanya boleh melelapkan mata sekitar jam 3 pagi dan sebaik tersedar, hari sudah siang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Norman memberitahu, keciciran dalam pembelajaran mula dialami sejak bapanya meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu.
Ujar Norman, dia kini tinggal bersama nenek, ibu dan dua lagi adiknya serta bergantung sepenuhnya dengan bantuan daripada pihak berwajib.
"Duit belanja semua cukup, tetapi masalah saya susah bangun tidur dan terpaksa berharap nenek kejut setiap hari.
"Sebenarnya saya seronok pergi ke sekolah, cuma masalah tidur menyebabkan rekod kedatangan saya teruk,” jelasnya.Katanya, selain itu, masalah pengangkutan juga antara punca dia tidak ke sekolah seperti rakan lain.
"Saya biasanya menghantar WhatsApp sehari awal kepada rakan untuk menumpang mereka ke sekolah.
"Kami hanya ada satu motosikal sahaja yang digunakan nenek menghantar dan mengambil dua adik di sekolah rendah,” katanya.
Jelas Norman, ibunya pula mempunyai masalah kesihatan mental, manakala neneknya sudah berusia serta tidak berkeupayaan untuk melakukan kerja-kerja berat.
"Masalah ponteng ini bukan sahaja saya alami, tetapi juga dua adik di sekolah rendah.
"Jika saya banyak habiskan masa menonton YouTube, mereka pula bermain game hingga lewat malam,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Surau Nur Iman, Kampung Pinang, Sungai Burong, Ismail Sarlan berkata, keluarga itu hidup dalam kedaifan dan hanya bergantung harap kepada bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Beliau berkata, keluarga tersebut turut menerima bantuan barangan asas lain bagi menampung kehidupan.
"Saya sendiri diamanahkan LZS untuk memegang wang bantuan bulanan untuk memastikan mereka berhemah dalam perbelanjaan masing-masing,” jelas Ismail.
Beliau memberitahu, setiap kali bertemu keluarga tersebut, dia kerap kali mengingatkan tiga beradik itu tidak ponteng sekolah kerana hanya pendidikan dapat mengubah nasib mereka.
Klik di sini untuk terus membaca