KUALA TERENGGANU - Mahligai dibina yang retak sejak 14 tahun lalu mengubah kehidupan seorang ibu tunggal kerana terpaksa bekerja seorang diri demi membesarkan empat anak-anaknya.
Ina (bukan nama sebenar), 38, berkata, dugaan yang dialami selepas penceraian begitu sukar untuk diharungi seorang diri sehingga menyebabkan anak-anak terabai.
"Bila dah bercerai, anak-anak akan kurang kasih sayang. Tiada sokongan termasuk dalam kalangan ahli keluarga.
"Penceraian bukan saja menyebabkan rumah tangga hancur, malah anak-anak juga terabai,” luahnya.
Dalam kesibukan bekerja sebagai tukang sapu di sekolah, kekangan kewangan yang dialami dan tiada nafkah daripada bekas suami mempengaruhi tumpuan Ina terhadap perkembangan pendidikan anaknya.
Cerita Ina, anak keduanya yang kini sepatutnya berada di Tingkatan Lima mengambil keputusan tidak bersekolah dan memilih untuk bekerja.
"Anak saya tidak bersekolah sejak Tingkatan Empat dan sekarang telah digantung sekolah kerana lama tidak hadir.
"Bila dah jadi macam ni saya perlu ke PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) untuk mohon semula persekolahannya tapi anak pula tak menunjukkan minat walaupun bermacam-macam usaha saya lakukan untuk dorong dia ke sekolah,” katanya.
Menurut Ina, anaknya itu kini membuat kerja-kerja kontrak dengan mengambil upah membuat rumah.
"Kalau ikutkan dengan gaji saya sebagai tukang sapu di sekolah sebanyak RM1,500 sebulan, tidak cukup untuk saya tampung perbelanjaan anak-anak dan tempat tinggal,” katanya.
Ina memberitahu, anak sulungnya yang kini berusia 19 tahun juga tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan kini bekerja di sebuah bengkel membaiki motosikal.
"Bukan saya tak mahu sekolahkan mereka, saya sudah berusaha berikan yang terbaik untuk mereka. Saya hanya mampu berserah pada ALLAH SWT dan tidak putus berdoa supaya ada rezeki dan masa depan yang baik buat mereka,” katanya.
Sementara itu, Ina memberitahu dua anaknya yang berusia 14 dan 15 tahun kini tinggal bersama ibu saudara bagi membolehkan mereka bersekolah.
"Saya tidak serahkan sepenuhnya kepada ibu saudara mereka kerana saya juga tampung sedikit sebanyak perbelanjaan,” ujarnya.
Tak ambil berat pelajaran anak
Sementara itu, Penyelia Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) Kuala Muda, Mariani Hussain berkata, tidak menitikberatkan aspek pendidikan anak-anak antara faktor sebilangan kecil pelajar tercicir dalam pelajaran.
Menurutnya, kajian mendapati keciciran dikesan berlaku akibat tindakan ibu bapa yang tidak memainkan peranan memberi kesedaran kepada anak-anak.
"Ada juga ibu bapa sendiri yang tak dapat pendidikan secukupnya semasa di bangku sekolah menyebabkan mereka tidak ambil kisah.
"Sepanjang saya kendalikan PAKK, sebilangan kecil kanak-kanak dan remaja ini menunjukkan minat terhadap pelajaran biarpun mereka boleh dikategorikan sebagai tercicir,” katanya.
Menurut Mariani, PAKK yang terbuka kepada kanak-kanak seawal tujuh hingga 16 tahun memberi ilmu asas pembelajaran kepada komuniti setempat.
Klik di sini untuk terus membaca