KAMPAR - Kehidupan serba kekurangan menyebabkan seorang remaja berusia 14 tahun mengambil keputusan untuk berhenti sekolah bagi meringankan beban ayah angkatnya yang juga orang kurang upaya (OKU) kurang pendengaran.
Remaja lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Razak berkata, pendapatan ayah angkatnya yang tidak menentu menjadi faktor dia tidak meneruskan persekolahan.
"Ayah yang berusia 62 tahun hanya bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan sekitar RM50 sehari. Itu pun kalau ada yang panggil bekerja tetapi jaranglah ayah keluar bekerja.
"Jadi, ayah tidak mampu hendak sekolahkan saya kerana tiada duit, lagipun sekolah jauh dan perlu menaiki van sekolah atau bas,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Menurut Razak, dia yang dijaga oleh keluarga angkatnya sejak bayi di Kampung Sahom di sini masih menyimpan hasrat meneruskan persekolahan yang tergendala sejak setahun lalu.
"Kalau ikutkan saya mahu belajar lagi dan teruskan hingga dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi,” katanya.
Jelas Razak, dia hanya tinggal berdua dengan ayah angkatnya manakala mak angkatnya tidak diketahui di mana keberadaannya.
"Keperluan seharian kami bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan orang ramai,” katanya.
Enggan bersekolah kerana dakwa jadi mangsa buli
Sementara itu di Kuantan, Pahang, seorang remaja berusia 18 tahun enggan ke sekolah sejak dua tahun lalu kerana mendakwa keluarganya bermasalah dan terbeban emosi di sekolah kerana sering dibuli.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat mendakwa, tiada siapa yang mahu membela dirinya sama ada guru atau bapa setiap kali aduan dibuat berhubung diganggu sekumpulan pelajar nakal di sekolahnya.
"Tiga tahun bersekolah (Tingkatan Satu hingga Tiga) saya kena hadap pembuli. Bukan sahaja diejek, wang saku juga dirampas dan pernah diugut akan dicederakan.
"Lapor kepada cikgu pun tidak guna sebab kita lemah, siapa hendak percaya. Saya pernah dilabel penipu dan sengaja ada-adakan cerita apabila mengadu dibuli.
"Macam mana orang hendak percaya sebab semua perbuatan buli itu dilakukan di tempat sunyi,” dakwanya.
Anak sulung daripada dua beradik itu memberitahu, jiwanya sering meronta untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelak menjadi mangsa buli.
"Saya pernah beberapa kali ponteng sekolah, tapi dapat dihidu ibu dan meminta saya tidak berbuat demikian.
"Pada ketika itu, saya akur memikirkan ibu kuat bekerja untuk sara keluarga,” ujarnya.
Namun, menurut Aizat, ketika berada di Tingkatan Empat, dia menyaksikan kesengsaraan ibunya yang terpaksa bekerja keras bagi membayar hutang along yang dipinjam oleh ayahnya.
"Saya faham perasaan ibu, lebih-lebih lagi ketika along datang ke rumah, mereka akan maki hamun ibu supaya segera membayar hutang.
"Jadi, saya nekad untuk tidak bersekolah dan bekerja di kedai makan bagi bantu ibu walaupun hanya dapat gaji RM30 sehari,” katanya menambah, ayahnya sudah bercerai dengan ibu selepas ditangkap polis berkaitan ganja, empat tahun lalu.
Aizat yang kini berniaga secara kecil-kecilan memberitahu, adik perempuan masih bersekolah dan dia menasihatkan adiknya itu agar tidak mengikuti jejak langkahnya.
Klik di sini untuk terus membaca