KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu sedar daripada lamunan dan menyedari bahawa rakyat mahu melihat satu usaha yang substantif daripada kerajaan dalam menangani masalah keciciran pelajar sekolah di negara ini. Bekas... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu sedar daripada lamunan dan menyedari bahawa rakyat mahu melihat satu usaha yang substantif daripada kerajaan dalam menangani masalah keciciran pelajar sekolah di negara ini.

Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, situasi tersebut dijangka bertambah teruk pada masa hadapan sekiranya kerajaan masih tidak melakukan intervensi secara bersepadu berhubung masalah berkenaan.

"Pertamanya, kita lihat persepsi pasaran, industri dan pihak yang menawarkan pekerjaan. Mereka akan sangsi dengan kebolehan dan keupayaan masyarakat kita untuk mengisi tenaga pakar untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Ini amat membimbangkan. Ia akan memberi kesan teruk kepada ekonomi dan menjejaskan apa yang kerajaan lakukan hari ini untuk memulihkan imej serta pencapaian Malaysia di peringkat ekonomi dan antarabangsa.

"Kita lihat apa kepada pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak hadir, gagal mendapatkan sijil adalah kesan kegagalan pengurusan pendidikan pada tahun 2021,” katanya ketika dalam temubual bersama Sinar Harian di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) pada Rabu.

Pada Isnin, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying ketika di Dewan Rakyat mendedahkan kadar keciciran pelajar sekolah menengah lebih tinggi berbanding sekolah rendah kerana kebanyakan pelajar memilih untuk bekerja berikutan faktor desakan ekonomi keluarga.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa atau majlis pemulihan pendidikan kebangsaan pasca Covid-19 bagi memikirkan secara serius pelan intervensi secara holistik dan bersepadu kepada semua peringkat pendidikan.

"Penglibatan daripada pihak industri dan pakar pelbagai bidang juga penting dalam usaha menyelamatkan masa depan sistem pendidikan negara.

"Perlu kita akui bahawa Covid-19 memberi dampak yang hebat menjejaskan pendidikan, ekonomi, kesihatan dan jika kita tidak tangani, ia akan menjejaskan imej serta pencapaian negara pada masa akan datang,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca