KUALA LUMPUR - Cadangan penggubalan satu akta khas bagi mewujudkan sebuah Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak bersifat bebas dan tidak lagi terikat di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), hakikatnya memerlukan kepentingan penyediaan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Cadangan penggubalan satu akta khas bagi mewujudkan sebuah Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak bersifat bebas dan tidak lagi terikat di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), hakikatnya memerlukan kepentingan penyediaan sistem atau format seimbang dengan nilai dan acuan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Parlimen), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan penggubalan akta khas itu penting bagi memenuhi permintaan agensi-agensi kerajaan yang memerlukan bantuan interpretasi dan kefahaman undang-undang dalam mentakrif isu kanak-kanak dengan secukupnya.

Atas faktor itu, beliau melihat pelaksanaan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh masih lagi menjadi penekanan kerajaan kerana isu kanak-kanak melibatkan elemen multidimensi termasuk bidang pendidikan, kebajikan, kesihatan, jenayah dan banyak lagi.

"Fokus saya adalah Suruhanjaya Kanak-Kanak perlu dijadikan badan bebas, mempunyai pejabat sendiri dan sepatutnya dipisahkan daripada bidang kuasa Suhakam.

"Kita mempunyai Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Tetapi kementerian itu tidak ada jabatan khas menguruskan isu kanak-kanak. Kanak-kanak ini dilihat melibatkan pelbagai elemen termasuk pendidikan, kebajikan, kesihatan dan banyak lagi.

"Atas faktor itu, kita mahukan satu sistem dan format Pejabat Suruhanjaya Kanak-Kanak yang seimbang (dengan nilai dan acuan negara),” kata Azalina dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di pejabat beliau di bangunan Parlimen, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keperluan penggubalan satu akta khusus untuk suruhanjaya kanak-kanak di negara ini yang menjadi kesinambungan kepada pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak, dijangka dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Azalina sebelum ini berkata, akta itu dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen pada bulan Oktober ini, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam 2018 dilulus dan dikuatkuasakan.

Melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak, maka Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang ketika ini ditempatkan di Suhakam akan menerajui Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak secara bebas bagi melindungi kepentingan 9.9 juta kanak-kanak di negara ini.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang mendedahkan, kerajaan juga perlu membandingkan peranan Suruhanjaya Kanak-Kanak di beberapa negara luar seperti Indonesia, India, New Zealand dan Australia dengan acuan nilai dan budaya negara ini.

Jelasnya, hal ini kerana format penubuhan suruhanjaya itu di negara-negara tersebut adalah bergantung kepada peranan yang kerajaan negara berkenaan mahukan.

"Kita belum sampai aspek itu kerana kita perlu mengkaji modul sedia ada. Tetapi memang betul, isu sekarang adalah sejauh mana kita hendak menerima pandangan kanak-kanak itu sendiri yang mahu melihat beberapa isu ditekankan demi perlindungan mereka.

Azalina (kanan) sewaktu wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian dan Sinar Daily di pejabatnya di bangunan Parlimen pada Isnin.
Azalina (kanan) sewaktu wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian dan Sinar Daily di pejabatnya di bangunan Parlimen pada Isnin.

"Ini kerana ada dalam kalangan orang dewasa tidak melihat pandangan kanak-kanak penting. Perkara ini perlu dikaji.

"Tetapi saya lebih khuatir dengan elemen kanak-kanak dari persepsi isu jenayah terhadap mereka atau dilakukan mereka. Sebagai contoh, kanak-kanak dimasukkan ke dalam lokap tahanan, datang sebagai ‘stateless’ atau tanpa izin. Kita hendak letak mereka di bawah premis mana?

"Ini semua aspek yang perlu kita lihat sebab kita (kerajaan) juga akan dinilai dalam perkara ini. Jadi, modul dan format itu masih kita perlu tentukan dalam sesi libat urus kelak,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca