PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan (NS) hampir selesai proses memuktamadkan agihan kerusi antara parti komponennya dengan menggunakan prinsip calon boleh menang bagi menghadapi saingan sengit gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan... Klik di sini untuk terus membaca

PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan (NS) hampir selesai proses memuktamadkan agihan kerusi antara parti komponennya dengan menggunakan prinsip calon boleh menang bagi menghadapi saingan sengit gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Pendekatan PN itu sekali gus mengetepikan kaedah agihan kerusi tradisi mengikut sistem kuota yang ditetapkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas atau Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) seperti diguna pakai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin berkata, PN memilih calon PRN kali ini berdasarkan sentimen masyarakat setempat dan memenuhi kehendak pengundi di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jadi jangan tanya kita, pecahan kerusi bakal diperoleh Bersatu, Pas dan Gerakan kerana kuota kerusi bukan formula terbaik diguna pakai pada PRN kali ini.

"Apa yang penting PN mahu pengundi di Negeri Sembilan tahu bahawa kita mempunyai satu ‘pasukan impian’ yang boleh bekerja dengan lebih baik untuk rakyat selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH nanti,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Biarpun bertanding dengan status underdog dan tidak memiliki sebarang kerusi, namun Badrul Hisham berkata, PN optimis untuk menang sekurang-kurangnya 24 kerusi DUN sekali gus merampas pentadbiran kerajaan negeri.

"DUN Negeri Sembilan kini dikuasai sepenuhnya oleh PH (20 kerusi) manakala 16 kerusi lagi dimiliki BN termasuk 15 UMNO dan satu MIC, namun gabungan itu tidak sekuat mana kecuali kawasan majoriti bukan Melayu dikuasai DAP.

"Malah, terdapat dua kerusi milik DAP dulu kini bukan lagi menjadi kubu kuat PH berikutan pertambahan jumlah pengundi Melayu susulan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik dan Undi 18,” jelasnya.

Justeru, Badrul Hisham berkata, cabaran utama PN untuk menang kerusi dan merampas pentadbiran kerajaan negeri adalah di kawasan ditandingi oleh BN-UMNO susulan peningkatan undi diperoleh semasa PRU15 lalu.

"Bagaimanapun, UMNO kini ibarat ‘pengemis kerusi’ kerana terpaksa merayu dengan PH terutama DAP untuk mendapat dua lagi kerusi tambahan selain 16 kerusi DUN dikuasai mereka dan MIC di Negeri Sembilan sekarang.

"Keadaan itu menyebabkan ramai penyokong BN-UMNO berasa kurang selesa dan marah kepada pucuk pimpinan parti sekali gus membuka ruang kepada PN menang sekurang-kurangnya 19 hingga 24 kerusi DUN terutama di kawasan majoriti Melayu dan bumiputera di Negeri Sembilan pada PRN ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai siapakah bakal Menteri Besar (MB) jika PN berjaya merampas pentadbiran kerajaan negeri nanti, Badrul Hisham berkata, PN juga tidak mahu tergesa-gesa menamakan poster boy biarpun mereka memiliki ramai calon berwibawa dan berpengalaman untuk diangkat memegang jawatan berkenaan.

Beliau berkata, senarai nama penuh calon PN yang bakal bertanding dalam PRN kali ini akan diumumkan pucuk pimpinan tertinggi parti selepas pembubaran DUN Negeri Sembilan atau selewat-lewatnya sehari sebelum hari penamaan calon nanti.

"Dari situ pengundi Negeri Sembilan dapat melihat ramai dalam kalangan mereka adalah terdiri daripada aktivis masyarakat, golongan profesional dan mempunyai pengalaman dari segi pentadbirannya sama ada di sektor kerajaan mahu pun korporat yang boleh diangkat menjadi calon Menteri Besar kelak,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca