MASANYA telah tiba untuk kita memperbaharui dan meningkatkan iltizam untuk memperkasa penghayatan budaya ilmu bagi membangunkan masyarakat dan negara yang berteraskan ilmu.
Kita perlu membuat penilaian, penambahbaikan dan pendekatan baru, dengan sense of urgency. Bertanya dan menjawab soalan-soalan yang sukar.
Justeru, Perikatan Nasional (PN) mencadangkan supaya digerakkan reformasi pendidikan yang komprehensif, yang meliputi semua aspek iaitu falsafah, dasar, undang-undang, ekosistem, kurikulum, sumber manusia, mutu dan penghakupayaan pensyarah, guru dan pelajar, teknologi digital, kebolehpasaran graduan, perpaduan, pengantarabangsaan, peranan ibu bapa dan alumni, kerjasama semua pemegang taruh serta kewangan.
Cadangan ini dan perkara-perkara pokok kandungannya telah dibentangkan dalam ucapan-ucapan Ketua Portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi PN serta 14 orang Ahli Portfolio ini, di Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-15, iaitu ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada 16 Februari 2023, dan ketika membahaskan Belanjawan 2023 pada 28 Februari 2023.
Ia bertujuan menegas semula, memperbaharui dan memperkukuh matlamat melahirkan generasi yang memiliki peribadi bersepadu secara multi-dimensional (insaniah, pandangan sarwa, ilmu, kemahiran, daya saing) yang bersifat kontemporari dan futuristik.
Antara perkara (cabaran-cabaran dan isu-isu) yang perlu ditangani dalam kerangka reformasi pendidikan ialah falsafah dan dasar melibatkan penilaian tentang sejauh manakah Falsafah dan Dasar Pendidikan Kebangsaan benar-benar dilaksanakan, dan penambahbaikannya, supaya sesuai dengan tuntutan kontemporari dan masa depan.
Matlamat pendidikan negara ditetapkan untuk melahirkan ‘insan baik’ dan bukannya sekadar ‘pekerja baik’.
Menyentuh mengenai aliran, sistem dan kurikulum. Penilaian terhadap kedudukan pelbagai aliran atau sistem persekolahan yang wujud di negara ini perlu dilakukan.
Kurikulum pendidikan diperkukuhkan dengan menumpukan kepada perkara-perkara yang benar-benar fundamental, meningkatkan prestasi pelajar, menangani under-achievers dan late bloomers, menghapuskan keciciran dan menyusun-semula nisbah sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) daripada 60:40 pada masa kini kepada nisbah baharu.
‘Pendidikan teknologi digital yang manusiawi’ iaitu keseimbangan antara menguasai dan mendepani teknologi terkini serta menangani isu-isu kemanusiaan juga perlu dipertingkatkan selain memperbanyakkan lagi jumlah graduan yang memiliki kelayakan profesional.Dalam masa sama, perkasakan kokurikulum (sukan, seni budaya, debat, teknologi dan keusahawanan) termasuk menukar nisbah akademik:korikulum daripada 90:10 pada masa kini kepada nisbah yang lebih seimbang 70:30.
Isu sumber manusia juga perlu ditangani. Tingkatkan mutu, skim perkhidmatan dan penghakupayaan pensyarah dan guru termasuk menangani masalah guru-guru yang bersara awal.
Beban tugas guru perlu diringankan dengan menambah jumlah guru pembantu dan kerani.
Selain itu, penghakupayaan pelajar termasuk dalam proses membuat keputusan perlu diperkasa selain menilai soal mis-match dan jurang antara bilik darjah dengan tempat kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar.
Soal perundangan dan governans juga antara perkara yang perlu dilihat semula. Gantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti dengan perundangan baharu yang lebih baik dan komprehensif.
Dalam masa sama, wujudkan insentif cukai yang kreatif membabitkan alumni, Persatuan Ibu bapa dan Guru, swasta dan lain-lain untuk sumbangan akademik, kokurikulum, bangunan, kelengkapan, peralatan dan sebagainya.
Agenda reformasi pendidikan perlu melalui proses tertentu melibatkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi secara bersama selain penglibatan pemegang taruh.
*Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ketua Portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Ahli-ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional (PN)
Klik di sini untuk terus membaca