MASIH ramai yang skeptikal dengan idea kereta pandu sendiri. Ada yang percaya kereta pandu sendiri tidak boleh direalitikan berdasarkan senario keadaan di jalanan.
Apatah lagi timbul cerita ada kereta pandu sendiri mengalami kemalangan. Ringkasnya ramai kurang percaya kepada idea untuk mempopularkan kereta pandu sendiri.
Jika kereta pandu sendiri pun tidak diterima dengan mudah, apatah lagi idea untuk memperkasakan Kejuruteraan Bas Berautonomi Elektrik (EAB). Ramai yang percaya idea EAB boleh menimbulkan bahaya besar kepada nyawa penumpang.
Begitu pun, sekumpulan pasukan kejuruteraan automasi berpangkalan di Oxfordshire, Britain telah berjaya memulakan projek MaltiCAV perkhidmatan bas awam pandu sendiri sejauh 10 kilometer (km) awal minggu ini bermula di Stesen Kereta Api Didcot Parkway ke Milton Park, Oxfordshire kira-kira 112km dari London.
Bas pandu sendiri yang mempunyai kapasiti 15 tempat duduk itu telah diuji sejak Januari lalu buat pertama kali di Taman Sains dan Teknologi di Edinburgh.
Bas mini tersebut memiliki penderia (sensor) membolehkan ia melakukan perjalanan pada jalan terpilih dalam taman berkenaan sejauh 22km pada kelajuan maksimum 80 kilometer sejam (km/j).
Kejuruteraan EAB yang berasaskan teknologi LiDAR mampu mengemudi, memecut dan membrek dengan selamat tanpa campur tangan pemandu bas.
Teknologi LiDAR ialah singkatan Light Detection and Ranging atau Pengesan Cahaya dan Jarak yang berdasarkan prinsip radar dan laser.
Ia mengukur berapa lama masa cahaya diambil untuk mencapai sesuatu objek atau halangan dan memantulkannya semula sebagai input maklum balas jarak dan kelajuan untuk membuat keputusan membrek.
Projek MaltiCAV ialah projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bas mini dan bas bertingkat yang dilaksanakan dalam tempoh singkat bermula awal 2022 dianggotai pasukan penyelidik dan jurutera beberapa syarikat berteknologi, syarikat pengangkutan serta University of West England.
Projek MaltiCAV menelan belanja hampir RM22.1 juta merangkumi kerja R&D tentang teknologi zero-emission (Ze), kecerdasan buatan (AI) dan internet of things (IoT).
Penulis percaya masih ramai kurang arif tentang kejuruteraan kenderaan autonomi (AV) iaitu kereta pandu sendiri atau kereta tanpa pemandu ialah kenderaan yang beroperasi dan mengemudi tanpa input manusia.
Ia menggunakan gabungan teknologi algoritma kawalan H-infinity yang kompleks untuk mampu mengenal pasti persekitaran, gangguan luaran, membuat keputusan dan mengawal pergerakan sesuatu sistem secara automatik.
AV dibangunkan berasas kombinasi pelbagai teknologi penderia seperti radar, LiDAR, kamera dan GPS bagi mengumpul maklumat tentang persekitaran.
Data tersebut diproses oleh sistem komputer atas dashboard yang menganalisis dan mentafsir maklumat untuk membuat keputusan masa nyata.
Penulis percaya teknologi kenderaan autonomi mempunyai potensi untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, mengurang kesesakan dan meningkatkan kecekapan pengangkutan.
Bagaimana pun perlu ada aspek yang dikaji termasuk soal keselamatan, tahap kecekapan tinggi, silap sifar, menangani rangka kerja perundangan dan kawal selia, serta mampu mewujudkan kepercayaan orang ramai.
Persoalan tentang kereta pandu sendiri ini disebutkan Allah SWT dalam Surah Al-Qashash ayat 28:14 bermaksud "Dan setelah Musa cukup umur (kuat) dan sempurna akalnya (dewasa), Kami berikan kepadanya hikmah (kenabian) dan pengetahuan (kemahiran). Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.”
Sebenarnya, perlaksanaan kejuruteraan kenderaan autonomi memerlukan dedikasi, pembelajaran berterusan dan semangat inovasi.
Ia mungkin sukar diperkenalkan di negara ini dalam masa yang singkat.Namun penulis melihat wujud keperluan untuk Malaysia membangunkan industri AV di negara ini.
Antara perkara yang perlu dilakukan ialah pendidikan dan pembangunan kemahiran dalam bidang kejuruteraan mekanikal, sains komputer, kejuruteraan mekatronik atau kejuruteraan automotif serta pengkhususan atau kepakaran dalam bidang autonomi, robotik, AI atau sistem kawalan robus. Kerajaan juga perlu mengemaskinikan aliran industri dan meningkatkan bilangan praktikal dan kemahiran.
Selain daripada itu, kerjasama dalam kenderaan berautonomi perlu diadakan. Kerajaan juga harus memfokus kepada pekerjaan yang berkaitan industri automotif, syarikat teknologi, institusi penyelidikan dan syarikat pemula yang mengkhususkan diri dalam sistem autonomi.
Kesimpulannya, bukan mudah untuk memulakan industri kenderaan pandu sendiri atau kenderaan awam pandu sendiri. Namun usaha ke arah itu harus dimulakan!
* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca