SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin serta Tan Sri Nor Mohamed Yakcop digesa menjelaskan dakwaan berhubung kehilangan aset UMNO sebanyak RM100 bilion.
Ia susulan pendedahan pengendali laman blog MalaysiaToday, Raja Petra Kamaruddin bahawa, Dr Mahathir, Daim dan Nor kini bertelagah berhubung isu kehilangan aset UMNO yang berjumlah sekitar RM100 bilion.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, rakyat khususnya ahli UMNO berhak untuk mengetahui cerita sebenar berhubung pendedahan Raja Petra itu.
"Sudah pasti pendedahan Raja Petra itu merupakan sesuatu yang serius, perlu kepada penjelasan daripada tiga bekas pemimpin UMNO ini. Kerana isu ini berlaku ketika era Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
"Saya kira orang ramai khususnya ahli UMNO perlu diberi penjelasan oleh tiga bekas pemimpin ini. Bagi saya ini adalah sesuatu yang serius dan melibatkan dana yang besar.
"Walaupun pendedahan ini agak kontroversi, namun bagi saya tiga individu berkenaan perlu tampil menjelaskan kerana ia membabitkan kepentingan awam, apatah lagi jumlahnya yang begitu besar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beberapa hari lalu, Raja Petra dalam satu rakaman klip video mendakwa Dr Mahathir, Daim dan Nor kini bertelagah berhubung kehilangan aset UMNO yang bernilai kira-kira RM100 billion.
Katanya, aset bernilai RM100 bilion itu termasuk dalam bentuk tunai kini didakwa hanya tinggal sekitar RM500 juta.
Jelas Raja Petra, isu aset milik UMNO bukanlah rahsia, malah banyak buku telah mendedahkan mengenai aset serta pelaburan UMNO.
Apatah lagi dengan pendedahan yang dibuat oleh Tan Sri Halim Saad dalam suratnya kepada Dr Mahathir berhubung aset dan pelaburan UMNO yang diurusnya sebelum ini.
Sementara itu, Mustapha berkata pihak berkuasa khsusunya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewajarnya menyiasat dakwaan ini kerana ia satu tuduhan yang serius.
"Saya kira ada baiknya jika pihak berkuasa turut menyiasat dakwaan ini. Jika benar ini bukan satu perkara biasa dengan jumlah yang begitu banyak," katanya.
Tambah Mustapha lagi, isu aset UMNO telah menjadi rahsia umum dan perkara ini telah dibangkitkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO.
Namun, beliau menjelaskan Najib ketika itu agak baik hati tidak mahu membongkarnya atas nama kemanusiaan.
"Cerita kehilangan harta UMNO ini telah menjadi rahsia umum sejak sekian lama. Ahli UMNO ternanti-nanti untuk mendapat jawapannya.
"Semasa Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri ada usaha untuk membongkar rahsia disebalik kehilangan harta UMNO itu, tetapi Najib tidak bersetuju atas dasar perikemanusiaan," tambahnya.
Klik di sini untuk terus membaca