SHAH ALAM - Tugas tambahan yang membebankan menjadi punca utama seorang guru Bahasa Inggeris memohon bersara awal sejak dua minggu lepas. Bekas guru Bahasa Inggeris, Marhaini Ahmad, 54, mengambil keputusan untuk bersara enam tahun lebih... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tugas tambahan yang membebankan menjadi punca utama seorang guru Bahasa Inggeris memohon bersara awal sejak dua minggu lepas.

Bekas guru Bahasa Inggeris, Marhaini Ahmad, 54, mengambil keputusan untuk bersara enam tahun lebih awal daripada tempoh persaraan wajib.

Marhaini berkata, beliau yang berkhidmat selama 25 tahun mengambil keputusan itu kerana tidak tahan dan tertekan dengan sistem pendidikan negara.

Menurutnya, guru bukan hanya melakukan tugas hakiki sebagai pendidik tetapi turut diamanahkan untuk melangsaikan kerja-kerja lain seperti mengemas kini maklumat pelajar dan pelaporan penilaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

"Berdasarkan pengalaman, saya selalu bangun pada jam 3 atau 4 pagi disebabkan ingin menyiapkan laporan yang diminta pihak atasan, sangat memenatkan. Bukan saya seorang, rakan-rakan guru lain turut mengalaminya.

"Kalau subjek bahasa ada empat ujian kemahiran iaitu menulis, mendengar, membaca dan bercakap, perlu diisi satu-satu,” katanya pada Jumaat.

Tambah Marhaini, keadaan itu boleh menyebabkan guru-guru menjadi burnout.

Burnout ialah istilah bagi keadaan emosi, mental dan keletihan fizikal yang disebabkan oleh tekanan berlebihan yang berpanjangan "Kadang-kadang saya masuk kelas tetapi tidak mengajar kerana sibuk menyiapkan laporan yang diperlukan segera oleh pihak atasan,” katanya.

27 tahun terikat dengan masa Sementara itu, bekas guru mata pelajaran Sains, Jaafar Khamis, 57, membuat pilihan untuk bersara awal kerana mahu berehat dan meluang masa untuk diri sendiri.

Beliau berpendapat, kerjaya sebagai guru menyebabkan pergerakannya agak terkawal sehingga tiada masa untuk melakukan perkara yang disukai.

Jaafar berkata, beliau tidak boleh lari daripada memikirkan mengenai pentadbiran sekolah dan pelajar walaupun waktu cuti persekolahan.

"Saya sememangnya sudah rancang lama untuk bersara awal. Pada tahun 2022 ketika saya berusia 55 tahun, saya mengambil keputusan berehat daripada mengajar.

"Semasa saya jadi cikgu selama 27 tahun, saya terikat dengan masa. Sampai cuti pun saya berada di sekolah, apatah lagi saya adalah seorang pentadbir, banyak yang perlu dilakukan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Jaafar bagaimanapun berkata, beliau tidak pernah rasa terbeban dengan tugas diberikan.

"Tapi apabila sudah bersara ini, saya boleh buat apa yang saya mahu tanpa terikat dengan kerja,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca