MANDVI - Siklon Biparjoy membadai pantai India dengan membawa angin kencang yang sekali gus menimbulkan ketakutan dan mencetuskan pemindahan segera, kini mula lemah sejak pagi Jumaat dan menuju ke bahagian utara.
Pusat ramalan cuaca India memberi amaran bahawa Biparjoy yang bermaksud ‘bencana’ dalam bahasa Bengali, berkemungkinan akan memusnahkan rumah dan menumbangkan tiang elektrik ketika ia melintasi negeri barat Gujarat.
Jabatan Meteorologi India (IMD) menyatakan ‘ribut siklon dahsyat’ merentasi garis pantai berhampiran Pelabuhan Jakhau pada petang Khamis, tetapi semakin lemah pada jam 2.30 pagi (waktu tempatan) dengan membawa angin 100 kilometer sejam (km/j) .
"Ia akan bergerak ke arah timur laut dan menjadi ribut siklon menjelang awal pagi 16 Jun,” katanya.
Sebelum ini, pegawai cuaca berkata, siklon itu dijangka bergerak semalaman ke wilayah Sindh di Pakistan.
Seorang pekedai di Gujarat, Jayantha Bhai memberitahu AFP, sebelum siklon itu melanda, dia bimbang mengenai keselamatan keluarganya.
"Ini kali pertama saya berdepan dengan siklon. Namun ia adalah fitrah alam dan kita tidak dapat melawannya,” kata ayah kepada tiga orang anak.
Kerosakan meluas
Semasa siklon melanda, jalan-jalan rendah mula dinaiki air pada petang Khamis akibat hujan berlaku selama beberapa jam.
Pakar meteorologi India memberi amaran mengenai kerosakan meluas termasuk tanaman, menumbangkan tiang elektrik dan gangguan kereta api dan jalan raya.Kerajaan negeri Gujarat berkata, 94,000 orang telah dipindahkan dari kawasan pantai dan dataran rendah ke tempat perlindungan sementara waktu.
Sementara itu, Menteri Perubahan Iklim Pakistan, Sherry Rahman berkata, kira-kira 82,000 penduduk telah dipindahkan dari kawasan pantai tenggara bagi mengelakkan ‘taufan yang tidak pernah dialami Pakistan’.
Kebanyakan kawasan terjejas adalah sama seperti mana ditenggelami bencana banjir monsun tahun lalu, mengakibatkan satu pertiga Pakistan ditenggelami air dan merosakkan dua juta rumah serta mengorbankan 1,700 orang.
"Ia berlaku akibat perubahan iklim,” kata Sherry kepada wartawan.
Menakutkan
Gelombang ribut dijangka mencecah empat meter dan mungkin menyebabkan banjir di Karachi yang menempatkan kira-kira 20 juta penduduk.
Di India, kira-kira 200 orang berkumpul di pusat kesihatan di daerah Kutch, yang terletak tidak jauh dari pelabuhan Jakhau pada Rabu.
Ramai daripada mereka menyuarakan kebimbangan mengenai haiwan ternakan yang ditinggalkan.
Seorang ahli farmasi di pusat kesihatan itu, berkata terdapat 10 lelaki telah tinggal di belakang bangunan farmasi itu untuk menjaga ratusan ekor lembu yang disifatkan penting daripada nyawa mereka sendiri.
Saintis memberi amaran ribut menjadi lebih kuat apabila dunia menjadi lebih panas akibat perubahan iklim. - AFP MANDVI
Klik di sini untuk terus membaca