MINGGU lalu, Arab Saudi menjadi tuan rumah kepada Persidangan Perniagaan China-Arab yang ke-10. Ia kali pertama forum tersebut diadakan di Riyadh dan merupakan perjumpaan terbesar yang pernah dianjurkan. Mesej yang ingin disampaikan oleh... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, Arab Saudi menjadi tuan rumah kepada Persidangan Perniagaan China-Arab yang ke-10. Ia kali pertama forum tersebut diadakan di Riyadh dan merupakan perjumpaan terbesar yang pernah dianjurkan.

Mesej yang ingin disampaikan oleh kedua-dua negara tersebut amat jelas. Perjanjian yang dimeterai pada persidangan itu termasuk satu perjanjian bernilai AS$5.6 bilion antara sebuah syarikat kenderaan elektrik China dan kementerian pelaburan Arab Saudi untuk kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan serta penghasilan automotif.

Selain itu, terdapat juga perjanjian untuk syarikat China melabur dalam industri perlombongan tembaga dan sumber tenaga boleh diperbaharui di Arab Saudi.

Forum tersebut yang diadakan selama dua hari dihadiri lebih 3,000 peserta. Walaupun tidak ramai rakyat Arab Saudi yang berbahasa Mandarin, beratus pegawai dari China menyertai perjumpaan melalui penterjemahan siaran langsung yang disediakan oleh penganjur dan dijamu kurma organik sebagai makanan ringan.

Hubungan yang semakin mesra dengan China jelas ketara apabila tanda-tanda di terminal baharu lapangan terbang Riyadh ditulis dalam bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin.

Malah, kementerian pendidikan Arab Saudi telah membuat pengumuman pada 2022 bahawa bahasa Mandarin bakal diajar di lapan sekolah awam sebagai mata pelajaran elektif tahun ini.

Semasa Presiden China, Xi Jinping berkunjung ke Arab Saudi pada Disember lalu, beliau disambut bagaikan wira. Hu Chunhua yang merupakan Naib Pengerusi Persidangan Perundingan Politik China dalam ucapannya pada persidangan tersebut menggambarkan lawatan Jinping sebagai ‘era kerjasama baharu’ antara negara-negara Timur Tengah dan China.

Dasar luar negeri baharu Arab Saudi mengundang keresahan Amerika Syarikat (AS). Beberapa hari sebelum persidangan perniagaan itu berlangsung, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken baru mengadakan lawatan rasmi ke Riyadh untuk memulihkan hubungan antara kedua-dua negara.

Hubungan tegang

Hubungan Arab Saudi dan AS tegang dalam tempoh beberapa tahun ini. Ia bermula daripada kempen pilihan raya Presiden Joe Biden pada 2019. Beliau berjanji untuk menjadikan Arab Saudi negara ‘kasta’ susulan hukuman mati terhadap wartawan Jamal Khashoggi.

Peristiwa yang mengeruhkan lagi keadaan adalah pada tahun lalu menerusi tindakan Arab Saudi yang meningkatkan pengeluaran minyak setelah berjanji dengan AS untuk menurunkan pengeluaran komoditi itu melalui rundingan rahsia.

Malah, dalam penyertaan per-sidangan perniagaan tersebut, terdapat beberapa syarikat China yang telah disenarai hitam oleh AS kerana disyaki terlibat secara tidak langsung dalam isu pengawal selia etnik minoriti China.

Antara syarikat China yang mengalami sekatan ekonomi AS ialah BGI Group, sebuah syarikat genomik yang membuka makmal di Arab Saudi semasa pandemik dan SenseTime, sebuah firma kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pengecaman wajah. Bagaimanapun, kedua-dua syarikat berkenaan telah menafikan dakwaan tersebut.

China merupakan rakan dagangan yang penting untuk Arab Saudi, mereformasikan sumber ekonomi negara yang selama ini bergantung kepada penghasilan minyak. Langkah tersebut menunjukkan bahawa Arab Saudi telah sedia untuk beralih kepada industri pembuatan.

Jika Arab Saudi memilih untuk menjarakkan diri dari AS dan rapat dengan China, Putera Mohammed Salman semestinya memahami kelebihan yang ditawarkan oleh China.

Perang dagang AS dan China akan berterusan. Justeru, Malaysia yang suatu masa dahulu dikatakan terlalu rapat dengan China atas dasar pelaburan infrastruktur perlu berhati-hati dalam menguruskan hubungan antara kedua-dua negara tersebut.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca