SHAH ALAM - Pas Selangor meminta isu pemilihan calon menteri besar daripada Perikatan Nasional (PN) sekiranya koalisi itu menang pilihan raya negeri (PRN) kelak, diputuskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berasaskan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas Selangor meminta isu pemilihan calon menteri besar daripada Perikatan Nasional (PN) sekiranya koalisi itu menang pilihan raya negeri (PRN) kelak, diputuskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berasaskan kuasa prerogatif baginda.

Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar berkata, mana-mana parti dalam PN tidak boleh bertindak mengesahkan nama mana-mana individu sebagai calon menteri besar tanpa restu Sultan Selangor.

Menurutnya, hal ini kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri menetapkan kuasa pemilihan menteri besar merupakan hak Sultan Selangor untuk membuat keputusan yang wajib dihormati semua pihak.

Ujarnya, belum ada keputusan muktamad dalam mesyuarat PN Selangor bagi memutuskan siapa calon menteri besar daripada PN, meskipun Pas mengesahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal mengetuai jentera koalisi di negeri itu.

"Kita mengesahkan Bersatu memang mengetuai jentera PN Selangor kerana Pengerusi PN Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) pun datangnya daripada parti berkenaan.

"Tetapi sama ada siapa calon poster boy untuk PN Selangor, tiada kata putus muktamad.

"Pas Selangor tidak terkejut apabila Bersatu umum calon menteri besar mungkin daripada parti itu. Cuma semua pihak perlu menjaga hati dan sensitiviti institusi Istana Selangor dengan tidak mendahului kuasa budi bicara sultan,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari yang mendedahkan calon Menteri Besar Selangor dijangka dipilih dalam kalangan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sekiranya PN berjaya merampas negeri tersebut dari tangan Pakatan Harapan (PH) pada PRN kelak.

Jelas ADUN Selat Klang itu, keputusan dibuat berasaskan jumlah agihan kerusi pilihan raya ditandingi Bersatu melebihi Pas di Selangor, selain parti tersebut menerajui jentera pilihan raya PN.

Sumber PN Selangor sebelum ini memaklumkan, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN Pusat dan Abdul Rashid sendiri antara nama disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor dari koalisi itu, selain Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Mohamed Sukri yang juga Ketua Pemuda PN Selangor berkata, Pas tiada masalah untuk terima calon Bersatu sebagai menteri besar, tetapi hanya setelah Sultan Selangor memperkenan senarai dipersembahkan PN Selangor jika koalisi itu menang PRN.

"Cuma Pas Selangor merasakan tidak enak ada pihak berbicara mengenai siapa calon MB pada saat PRN semakin hampir.

"Pemuda Pas dan PN Selangor sendiri lebih fokus usaha memerangi Islamofobia, memperjelaskan kepada rakyat yang kita tidak rasis dan paling penting, membentangkan pelan pembangunan yang kita hendak bawa di negeri ini,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca