SHAH ALAM - Konsep pembelajaran dan pengajaran di setiap sekolah yang mengadaptasi penggunaan alat teknologi moden antara punca guru memilih untuk bersara awal.
Bekas guru, Hamidah Mustafa, 60, berkata, pada usia yang semakin meningkat, kebanyakan guru tidak dapat mengikuti pembaharuan yang dilakukan pihak sekolah.
Menurutnya, guru yang sudah berusia agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan teknologi pada masa kini menyebabkan mereka ketinggalan dan akhirnya tertekan.
"Guru-guru yang lama bukan saja kurang pengetahuan, malah tak tahu langsung mengenai teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang diterapkan dalam sistem pendidikan sekarang. Mahu belajar, agak sukar kerana umur sudah lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu, Hamidah berkata, faktor kesihatan juga menjadi salah satu sebab ramai guru mengambil keputusan untuk bersara awal.
"Apabila sudah pencen, kita tidak lagi stres dengan bebanan kerja yang perlu dihadapi setiap hari,” katanya yang telah berkhidmat dalam bidang perguruan selama 32 tahun.
Bersara awal sebab masalah kesihatan Sementara itu, seorang guru Bahasa Melayu, Norhayati Sulaiman, 63, berkata, walaupun sayang mahu meninggalkan dunia pendidikan, beliau mengambil keputusan untuk bersara awal kerana faktor kesihatan.
Menurutnya, masalah kesihatan dihadapi seperti kerap sakit lutut setiap kali menaiki tangga, katanya.
"Saya ada masalah lutut dan susah menaiki tangga untuk ke kelas di tingkat atas. Daripada saya menyusahkan orang lain, lebih baik saya mengundurkan diri dan memberi peluang kepada guru-guru muda pula.
"Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk bersara pada usia 59 tahun selepas lebih 38 tahun bergelar pendidik walaupun masih sayang dengan kerjaya tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Norhayati, dalam tempoh bergelar guru, beliau hanya memikirkan soal kerja sehingga tidak mempunyai masa untuk diri sendiri dan keluarga.
"Selain faktor kesihatan, saya juga ingin memberikan masa kepada diri sendiri pula. Bila ada kelapangan, saya dapat pergi ke masjid menghadiri kelas agama dan melakukan perkara yang disukai.
"Selama saya jadi cikgu, saya hanya fikirkan pasal kerja,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca