TERDAPAT begitu banyak rungutan yang kita dengar tentang mutu perkhidmatan kesihatan negara sejak sekian lama. Antara rungutan paling kerap diterima ialah tentang masa menunggu yang terlalu lama terutama di hospital dan juga klinik... Klik di sini untuk terus membaca

TERDAPAT begitu banyak rungutan yang kita dengar tentang mutu perkhidmatan kesihatan negara sejak sekian lama.

Antara rungutan paling kerap diterima ialah tentang masa menunggu yang terlalu lama terutama di hospital dan juga klinik kerajaan.

Selain itu, terdapat juga masalah seperti katil tidak mencukupi dan juga kemudahan yang sudah usang serta rosak.

Akhbar ini juga pernah menerima laporan ahli keluarga pesakit terpaksa membawa kipas sendiri ke dalam wad.

Terdapat pandangan yang mengatakan kos rawatan yang sangat rendah menyebabkan ramai yang memilih untuk mendapatkan perkhidmatan di fasiliti awam.

Di hospital dan klinik kerajaan, rakyat hanya perlu bayar RM1 untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan RM5 untuk berjumpa dengan doktor pakar.

Tetapi di hospital dan klinik swasta, orang ramai kena bayar antara RM60 hingga RM200. Ini adalah perbezaan yang cukup besar.

Tidak cukup dengan itu, perkhidmatan kesihatan negara juga turut dibebani dengan masalah kekurangan doktor yang mengambil keputusan untuk berhenti dan berkhidmat sama ada di sektor swasta, membuka klinik sendiri atau bekerja di luar negara.

Kerajaan tidak mampu untuk menyerap semua doktor dan terpaksa menggunakan skim kontrak. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kakitangan perubatan.

Selain itu, negara turut kekurangan jururawat di mana turut bekerja di sektor swasta dan bekerja di luar negara terutama di Arab Saudi yang menawarkan gaji lebih daripada RM10,000 sebulan.

Semua keadaan yang berlaku ini memberi kesan besar kepada mutu perkhidmatan kesihatan awam negara dan lebih terkesan dengan masalah ini ialah golongan rentan serta fakir miskin yang amat memerlukan penjagaan kesihatan terbaik.

Malangnya disebabkan kadar bayaran untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang murah, ramai termasuk mereka yang berkemampuan memilih ke fasiliti awam. Ini amat tidak adil kepada mereka yang berada dalam golongan B40. Mereka perlu dapat perkhidmatan terbaik dan selesa.

Walaupun kerajaan saban tahun memperuntukkan belanjawan yang besar kepada sektor kesihatan awam, namun ia masih belum mencukupi untuk menyelesaikan masalah tersebut untuk jangka pendek dan panjang.

Menurut Hudson’s Global Residence Index, terdapat 43 negara di dunia yang didapati memberikan penjagaan kesihatan secara percuma atau sekurang-kurangnya 90 peratus subsidi daripada kerajaan.

Sementara Norway merupakan negara yang menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma sejak tahun 1912, namun negara itu juga diiktiraf sebagai sebuah negara yang paling sihat di dunia.

Bagaimanapun, negara berkenaan didapati mengenakan kadar cukai yang tinggi kepada rakyat yang membolehkan mereka melaksanakan perkara tersebut.

Amerika Syarikat pula merupakan negara terbesar dunia yang hanya menyediakan pakej insurans kesihatan untuk pekerja dan ahli keluarga mereka sementara program khas kerajaan untuk golongan orang kelainan upaya, warga emas dan golongan rentan.

Negara-negara yang tidak menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma ialah Nigeria, Yemen, Afrika Selatan, Mesir, Afghanistan, Pakistan dan Iran.

Sehubungan itu, kita berharap dengan Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan di Parlimen itu dapat memastikan reformasi total dalam sektor penjagaan kesihatan awam negara.

Kertas Putih Kesihatan yang menggariskan strategi reformasi kesihatan negara untuk 15 tahun akan datang itu menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bagi mewujudkan satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan serta promotif supaya rakyat kekal sihat dan sejahtera.

Kita berharap ia dapat memberi impak besar menerusi peningkatan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan saksama, memantapkan perlindungan sosial serta perlindungan risiko kewangan, dan memastikan sistem kesihatan negara yang lebih mampan serta berdaya tahan.

Selain itu, ia menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta secara langsung memacu pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Satu perkara yang paling penting sekarang ialah kesedaran rakyat tentang kepentingan untuk menjaga kesihatan diri.

Bak kata pepatah, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca