SEJARAH memperlihatkan betapa dinamik dan pragmatiknya parti-parti politik di Malaysia. Sifat tersebut menjadikan pakatan dan kerjasama adalah kunci kepada kuasa serta kestabilan politik.
Malah, ia dianggap unsur terpenting memperincikan politik Malaysia. Sejak merdeka sehinggalah sekarang, sukar mana-mana parti untuk menang pilihan raya secara bersendirian bagi membentuk kerajaan selepasnya.
Faktor kemajmukan dan taburan undi terpecah antara kaum membawa kepada persaingan politik yang sengit serta terbuka. Dengan komposisi kaum yang agak seimbang, mendapatkan majoriti bagi membentuk kerajaan adalah sukar.
Sebab itulah, kerjasama dan pakatan perlu dilakukan bagi membolehkan perkara tersebut dicapai. Fabrik politik yang bersifat zero-sum juga turut menyumbang ke arah itu.
Mengetahui bahawa tiada apa yang kekal selamanya selain daripada kepentingan, kerjasama secara pakatan menjadi strategi penakatan terbaik dalam mengekalkan kuasa dan kelangsungan politik.
Maka, apa pun justifikasi dan alasan kepada kerjasama itu, sifatnya tetap sebagai sebuah pakatan untuk kesenangan (coalition of convenience).
Selagi semua pihak menikmati kesenangan yang diinginkan, kerjasama pakatan tersebut akan berlangsung dengan baik dan mesra secara praktikal.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kejayaan tersebut. Pertama, faktor paling penting ialah peranan dimainkan oleh elit politik.
Kesanggupan mereka untuk bekerjasama secara harmoni dan mencari penyelesaian melalui perundingan, kompromi serta tawar menawar akan mengukuhkan kerjasama dan kestabilan pakatan.
Perundingan antara elit itu mesti berlaku dalam suasana saling mempercayai dan semangat akomodasi. Apabila kata sepakat dicapai, ia mesti dipertahankan oleh semua komponen pakatan berkenaan.
Pemimpin setiap parti akan bertanggungjawab untuk menjelaskan dan mewajarkan keputusan pakatan kepada akar umbi masing-masing bagi memastikan pematuhan.
Kedua, faktor kewujudan parti dominan dalam pakatan dan gabungan. Kesukaran untuk sesebuah pakatan membuat keputusan secara konsensus hanya boleh diselesaikan sekiranya wujud parti yang dominan sebagai pengatur cara.
Persaingan Kesetaraan parti bagi hal itu lazimnya akan cenderung untuk menajamkan konflik dan persaingan intra-parti dalam pakatan.
Ketiga, berlaku asimilasi politik dengan naratif jelas sebagai langkah asas memupuk keyakinan dan membina kapasiti sesama komponen.
Ia perlu berlaku atas semangat menjadi lebih ‘pakatan daripada parti’ dengan tidak menyentuh dasar dan prinsip parti yang tidak boleh dikompromikan.
Lazimnya, kelebihan menjadi sebuah pakatan akan menjayakan perkara tersebut dan bukannya menggunakan jalur parti yang terbukti sukar dioperasikan.
Keempat, keberkesanan pakatan bagi memenuhi matlamat dan tuntutan rakyat terutama ketika mereka memerintah dengan membawa pembangunan sosioekonomi bagi kesejahteraan negara – justifikasi terpenting dalam memberikan keabsahan kepada sesebuah kerajaan setiap kali pilihan raya.
Yang jelas, dinamika pakatan politik di Malaysia sering bermula sebagai pengaturan sementara (temporary arrangement), namun ternyata menjadi solusi kepada dilema politik berbilang kaum yang sinonim dengan politik kepartian dan pilihan raya negara.
Terbukti sehingga kini sistem pakatan adalah cara paling sesuai untuk membentuk kestabilan politik dan keseimbangan persaingan dengan komposisi pelbagai kaum.
Ia mungkin tidak dapat memenuhi tuntutan semua pihak yang bersaing tetapi ia adalah satu-satunya jalan dan kerangka kerja politik, membolehkan tuntutan serta keperluan semua pihak dapat dipenuhi, sekurang-kurangnya tanpa mengorbankan kepentingan mana-mana pihak.
Ini kerana pakatan berdasarkan prinsip akomodasi dan kompromi lazimnya membantu meminimumkan sebarang perbalahan serta perbezaan serius, selain ia menjadi alat bagi mencapai konsensus dan peranti pengurusan konflik yang ampuh serta berkesan.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca