SHAH ALAM - Pas Selangor mendedahkan proses agihan kerusi pilihan raya negeri (PRN) ini untuk semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) sudah selesai di peringkat negeri dengan parti dijangka bertanding 18 kerusi. Setiausaha Pas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas Selangor mendedahkan proses agihan kerusi pilihan raya negeri (PRN) ini untuk semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) sudah selesai di peringkat negeri dengan parti dijangka bertanding 18 kerusi.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula bersetuju untuk bertanding sejumlah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, termasuk beberapa kerusi yang bakal ditandingi calon sayap bersekutu parti itu.

Jelasnya, sejumlah enam kerusi DUN di kawasan campuran dan bandar pula bakal ditandingi Gerakan, manakala sayap penyokong bukan Islam Pas, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) bakal diperuntukkan satu kerusi.

"Fokus Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini untuk memenangi kesemua 18 kerusi DUN terdiri daripada kerusi majoriti pengundi Melayu berkomposisi 60 peratus ke atas.

"Bersatu mendapat lebih banyak kerusi kerana mereka akan bertanding di kerusi DUN campuran dan kawasan bandar. Parti itu akan mempertaruhkan calon daripada sayap bersekutu Bersatu,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Roslan Shahir
Roslan Shahir

Beliau mengulas jumlah agihan kerusi pilihan raya PN Selangor yang dimuktamadkan parti komponen koalisi itu di peringkat negeri bagi mendepani PRN Selangor tidak lama lagi.

Roslan Shahir bersependapat dengan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari bahawa terdapat sejumlah 33 kerusi DUN majoriti pengundi Melayu yang menjadi kunci utama PN tawan Selangor dari tangan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, sasaran PN Selangor untuk memenangi 33 kerusi itu daripada keseluruhan 56 kerusi DUN negeri dianggap tidak mustahil berasaskan trend kejayaan Pas memenangi 42 daripada 43 kerusi Parlimen dengan komposisi majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Dengan PN memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi DUN untuk mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan di Selangor, sasaran menang 33 kerusi DUN majoriti pengundi Melayu lebih 60 peratus adalah tidak mustahil.

"Hasil kajian politik kami, daripada 43 kerusi Parlimen dimenangi Pas pada PRU15, 42 daripadanya adalah kerusi majoriti Melayu melebihi 60 peratus, manakala satu kerusi Parlimen Hulu Langat, Selangor dimenangi kami dengan peratusan pengundi Melayu bawah 60 peratus.

"Kalau ambil kira keputusan itu, dengan kerusi Parlimen memiliki 58 peratus pengundi Melayu di Selangor pun Pas boleh menang, tidak mustahil kerusi DUN majoriti pengundi Melayu 60 peratus ke atas akan dikuasai Pas dan PN.

"Tambahan pula, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PH pasca PRU15 masih ditolak majoriti segmen pengundi Melayu sehingga kini.

"Saya percaya faktor itu memberi nilai tambah terhadap peluang kemenangan Pas dan PN di Selangor,” jelasnya.

Kejutan calon PN Di sebalik pendedahan jumlah agihan kerusi PN Selangor, Roslan Shahir menegaskan pengumuman rasmi perkara itu adalah termasuk senarai nama calon yang bertanding pada PRN enam negeri bakal diumumkan serentak pada 22 Jun ini.

Ulasnya, PN Selangor juga menjanjikan kejutan pencalonan beberapa nama besar politik dan tokoh akademik untuk mewakili koalisi itu sebagai calon pada PRN nanti.

"Saya difahamkan bekas Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menolak tawaran bertanding PRN tetapi anaknya mungkin mewakili PN kelak.

"Satu lagi kejutan PN adalah mempertaruhkan ahli akademik terkemuka bertaraf profesor di sebuah institusi pengajian tinggi awam sebagai calon kami.

"Untuk nama besar seperti Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, beliau tiada dalam senarai kami. Tetapi yang pasti Pas akan mempertaruhkan 18 calon berkelulusan akademik sekurang-kurangnya bertaraf sarjana, terdiri golongan profesional pelbagai bidang dan berusia kurang 60 tahun,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca