SHAH ALAM - Keputusan rundingan jawatankuasa berkaitan isu pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Khamis malam menunjukkan terdapat satu atau dua kerusi bertindih yang masih belum diselesaikan di setiap negeri.
Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad menjelaskan, proses perundingan antara PH-BN itu masih belum selesai dengan rundingan peringkat akhir bakal ditentukan oleh pucuk pimpinan parti masing-masing.
Katanya, mereka sudah membuat perbincangan dan akan meminimumkan jumlah kerusi bertindih antara PH-BN.
"Namun, ada perbincangan akhir di peringkat Majlis Presiden (BN-PH) yang melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memuktamadkan perkara itu.
"Rundingan malam tadi (Khamis) berjalan dengan lancar, tiada pertelingkahan. Siap dijamu makan lagi,” katanya kepada Sinar Premium.
Menjawab persoalan mengenai teka-teki tarikh pengumuman keputusan pembahagian kerusi pilihan raya antara PH dan BN, Khalid berkata, berita gembira itu mungkin akan dikongsikan menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha.
"Semua Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir bubar, jadi keputusan pembahagian kerusi pilihan raya semestinya akan diberitahu dalam masa terdekat.
"Mungkin sebelum hujung minggu hadapan, kita akan mendapat tahu keputusan pembahagian kerusi BN-PH,” jelasnya.
Mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang memaklumkan parti itu telah mengenal pasti semua calon bagi kerusi DUN ditandingi mereka, Khalid berkata, Amanah juga memiliki calon dirasakan sesuai untuk bertanding di enam negeri PRN terlibat.
"Buat masa ini, Amanah sudah ada calon. Namun, persoalan kerusi DUN mana akan ditandingi mereka akan diuruskan oleh jawatankuasa pengurusan pilihan raya peringkat parti.
"Bagi saya, tidak sukar untuk mencari calon tetapi susah untuk mendapatkan kerusi pilihan raya. Sebaik kita dapat kerusi, pasti akan ada calon sesuai diletakkan di kawasan itu,” ujarnya.
Pada malam Khamis, satu rundingan berkaitan pembahagian kerusi antara PH dan BN telah dipengerusikan oleh Rafizi bagi PH, manakala BN diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Rundingan berkenaan menumpukan kepada kesepakatan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi menetapkan agihan kerusi DUN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.
Biarpun perbincangan antara parti itu berjalan lancar namun pemimpin yang hadir masih mengunci mulut tentang perincian pembahagian kerusi DUN antara PH dan BN.
Dalam pada itu, Khalid meletakkan harapan tinggi agar penyokong kekal memberi sokongan kepada calon yang diletakkan pada enam negeri terlibat PRN tanpa mengira parti.
"Apabila persetujuan telah diputuskan bersama, kami berharap semua pihak terus menyokong Kerajaan Perpaduan walaupun mungkin bukan calon daripada parti yang mereka mahu untuk sesuatu DUN,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang turut hadir dalam rundingan berkenaan memaklumkan, pihaknya belum memuktamadkan nama calon-calon yang dicadangkan untuk BN di negeri itu.
"Saya hadir dan duduk bersama pada rundingan ini, tetapi segala keputusan muktamad akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti masing-masing untuk berbincang dan membuat keputusan akhir.
"Kami hanya memberi cadangan tetapi ia akan ditentukan oleh pemimpin parti. Ini adalah kali pertama BN mendepani PRN bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan. Harapan saya agar kami semua dapat terus bekerjasama sepenuhnya,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca