BORIS Johnson ialah seorang pemimpin politik United Kingdom (UK) yang kontroversial dan berani mengambil risiko untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri. Cita-cita itu menjadi kenyataan pada 24 Julai 2019. Tetapi beliau mewarisi... Klik di sini untuk terus membaca

BORIS Johnson ialah seorang pemimpin politik United Kingdom (UK) yang kontroversial dan berani mengambil risiko untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri. Cita-cita itu menjadi kenyataan pada 24 Julai 2019.

Tetapi beliau mewarisi sebuah kerajaan tidak stabil dan kehilangan majoriti pada September 2019. Bagi mengukuhkan kedudukan politiknya, Johnson membubarkan House of Common untuk mengadakan pilihan raya umum.

Perhitungan politiknya membuahkan hasil. Beliau balik ke Downing Street dengan majoriti besar iaitu sebanyak 80. Kemenangan itu sepatutnya membolehkan Johnson berkuasa untuk tempoh lima tahun sehingga 2024 dengan mudah, namun berlaku sebaliknya.

Selama menjadi Perdana Menteri, beliau terpalit pelbagai kontroversi memalukan dan mencemarkan etosnya termasuklah mengadakan majlis bersuka ria di kediaman rasminya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bagi membendung penularan Covid-19.

Beliau mengakui di Parlimen bahawa majlis itu memang berlangsung tetapi ia mematuhi peraturan Covid-19 sepenuhnya. Parlimen mempercayainya. Ibarat tupai yang pandai melompat, beliau kekal sebagai Perdana Menteri tetapi gelagat buruk beliau sebagai Perdana Menteri terus didedahkan kepada media.

Ia termasuklah tindakan isteri beliau mengubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri menggunakan wang sumbangan seorang tokoh korporat – satu tindakan dianggap tidak beretika.

Bagaimanapun yang menjerat diri Johnson sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri adalah pelantikan seorang ahli Parlimen bernama Chris Pincher yang juga sahabatnya sebagai Timbalan Ketua Whip Kerajaan di House of Commons.

Pelantikan itu menimbulkan kontroversi kerana Pincher pernah terlibat dengan beberapa skandal seksual sebelum itu. Johnson menjelaskan beliau tidak tahu menahu skandal melibatkan Pincher, walhal sebelum pelantikan dibuat, beliau telah diberitahu oleh pegawai-pegawai mengenai perbuatan sahabatnya itu.

Berikutan peristiwa itu, karakter dan kebolehpercayaan terhadap Johnson sebagai pemimpin politik yang luhur semakin hebat dipersoalkan. Dalam kalangan anggota kabinetnya sendiri sudah mula tidak senang dengan perbuatan curangnya. Sebagai tanda membantah, seorang demi seorang anggota kabinetnya meletakkan jawatan.

Berikutan tindakan dianggap sebagai undi tidak percaya oleh sebilangan Jemaah Menteri itu, Johnson akhirnya melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 7 Julai 2022. Beliau diganti oleh Elizabeth Truss, salah seorang penyokong kuatnya dalam politik UK tetapi Truss juga tidak bertahan lama kerana gagal melaksanakan janji semasa berkempen untuk menjadi ketua Konservatif. Truss meletakkan jawatan.

Johnson tanpa segan silu membayangkan beliau ingin bertanding semula sebagai Ketua Parti Konservatif dengan harapan untuk kembali ke 10 Downing Street sebagai Perdana Menteri.

Malangnya, beliau gagal mendapat sokongan. Sebaliknya, Rishi Sunak yang pernah berkhidmat di bawah Johnson sebagai Menteri Kewangan diberi kepercayaan menjadi Ketua Parti Konservatif dan diangkat sebagai Perdana Menteri keturunan etnik India pertama bagi sebuah negara dengan majoriti penduduknya terdiri daripada orang kulit putih.

Sekalipun terlepas peluang menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua, Johnson tetap menyimpan cita-cita untuk sekali lagi menyandang jawatan tersebut. Pada suatu waktu harapan itu memang ada.

Bagaimanapun, susulan terbitnya Laporan Jawatankuasa Hak Parlimen yang ditubuhkan bagi menyiasat kebenaran dakwaan Johnson bahawa majlis keraian diadakan di kediaman rasmi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, harapan Johnson untuk kembali sebagai Perdana Menteri tertutup rapat buat selama-lamanya.

Hal itu kerana laporan siasatan setebal 106 halaman yang diterbitkan pada 15 Jun lalu mendapati Johnson bukan sahaja telah mengelirukan House of Commons tetapi melakukan satu pembohongan dan hipokrasi pada tahap tertinggi sebagai ketua kerajaan.

Perbuatan beliau itu dianggap penghinaan besar kepada Parlimen. Sebagai hukuman, laporan itu mencadangkan keanggotaan Parlimen bekas Perdana Menteri digantung sehingga 90 hari.

Tetapi sebelum laporan dan cadangan hukuman itu dibentangkan kepada House of Commons, Johnson terlebih dahulu telah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat. Tindakan itu dengan sendirinya menamatkan kerjaya politik beliau yang masih berharap untuk kembali berkuasa. Cerita perjalanan politik Johnson itu adalah kisah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Klik di sini untuk terus membaca