SHAH ALAM - Harga ikan kegemaran rakyat Malaysia yang dijual di pasaran dikesan mengalami kenaikan sehingga melebihi 20 peratus. Bukan sahaja di ibu negara, malah tinjauan Sinar Ahad di pasar-pasar seluruh negara juga mendapati berlaku... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Harga ikan kegemaran rakyat Malaysia yang dijual di pasaran dikesan mengalami kenaikan sehingga melebihi 20 peratus.

Bukan sahaja di ibu negara, malah tinjauan Sinar Ahad di pasar-pasar seluruh negara juga mendapati berlaku kenaikan harga selepas Aidilfitri lalu.

Jenis ikan yang mengalami kenaikan harga antaranya ialah kembung, selayang, pelaling dan kerisi.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pahang, Zulkiflee Md Yusof berkata, isu kenaikan harga ikan yang berlaku di beberapa negeri ketika ini berpunca daripada beberapa faktor.

Menurut Zulkiflee, antaranya perairan negara kini sedang berdepan musim kekurangan hidupan laut berkenaan.

Selain itu, jelas beliau, keadaan semasa seperti cuaca dan pemanasan global turut menyumbang kepada masalah tersebut.

"Pada masa ini juga, ia adalah fasa kesukaran untuk nelayan menangkap ikan kerana saiz hidupan tersebut masih kecil sehinggakan tidak dapat ditangkap,” jelasnya kepada Sinar Ahad.

Tambah Zulkiflee, tangkapan hasil laut pada ketika ini mencatatkan penurunan begitu ketara iaitu sebanyak dua hingga tiga tan berbanding dahulu sebanyak 10 tan ikan.

Beliau menjelaskan, antara faktor lain yang mendorong kepada kenaikan harga ikan di pasaran ialah pengurangan subsidi diesel daripada kerajaan kepada nelayan.

Menurutnya, tindakan yang dibuat kerajaan pada 2022 dengan mengurangkan subsidi tersebut daripada 20,000 liter kepada 18,000 liter sebulan secara tidak langsung telah meningkatkan kos nelayan untuk menangkap ikan.

"Kerajaan tidak sepatutnya mengurangkan pemberian subsidi itu memandangkan kami (nelayan) mengambil masa lama untuk meraih tangkapan yang memberi pulangan.

"Nelayan merupakan satu pekerjaan mencari barang hilang kerana kita tidak mengetahui keadaan perairan tersebut ada ikan atau sebaliknya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berpandangan, kenaikan harga ikan di pasaran juga disebabkan permintaan melebihi penawaran.

Pada masa kini, katanya, amat mustahil untuk menurunkan harga ikan kerana jumlah tangkapan nelayan tidak lagi seperti dahulu.

"Cara penangkapan ikan menggunakan kaedah tradisional membolehkan kami menjual ikan jenis kembung, mabung dan sardin di pasaran serendah RM3 per kilogram (kg) tetapi kini berharga RM12,” ujarnya.

PERBANDINGAN

Jenis Harga (sekilogram)

Dahulu Sekarang

Kembung RM12 RM15

Selayang RM8 RM14

Kerisi RM8 RM13

Pelaling RM12 RM15

Ikan merah RM18 RM25

Tongkol RM11 RM15

Tenggiri RM45 RM50

* Berdasarkan tinjauan Sinar Ahad di beberapa negeri

Klik di sini untuk terus membaca