DESAKAN mengkaji semula Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah dalam maksud memansuhkannya bagi membolehkan semua rakyat Malaysia dikawal oleh Kanun Keseksaan di bawah undang-undang Persekutuan telah mula membuahkan hasil. Ia bukanlah... Klik di sini untuk terus membaca

DESAKAN mengkaji semula Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah dalam maksud memansuhkannya bagi membolehkan semua rakyat Malaysia dikawal oleh Kanun Keseksaan di bawah undang-undang Persekutuan telah mula membuahkan hasil.

Ia bukanlah baharu, sebaliknya telah berulang kali diutarakan oleh pihak tertentu. Walaupun telah diberi penerangan jelas berkaitan kedudukan undang-undang jenayah syariah di Malaysia, pihak berkenaan masih tegas memperjuangkan matlamat mereka dan menolak penjelasan. Kini mereka juga berjaya mendapat perintah mahkamah ke arah itu.

Di Malaysia, undang-undang jenayah syariah telah wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan. Malah pada zaman sebelum penjajah lagi, ia telah wujud.

Hakikatnya, kedatangan Islam ke Nusantara tidak membatalkan segala bentuk kebudayaan dan tamadun lama tetapi hanya meminda, mengubah suai serta memperbaiki mana-mana yang perlu supaya berpadanan dengan Islam dan selari hukum syarak.

Undang-Undang lama seperti Kanun Melaka dan Undang-Undang 99 Perak, malah tulisan di Batu Bersurat Terengganu adalah manifestasi aplikasi undang-undang jenayah syariah telah lama mendapat tempat di bumi Nusantara.

Tidak keterlaluan jika dikatakan raja-raja Melayu ketika itu juga adalah ilmuwan Islam dan sentiasa berjuang mendalami ilmu agama serta mengaplikasinya.

Sebahagian kesalahan jenayah syariah juga telah wujud sebelum merdeka, misalnya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Selangor 1952 telah memperuntukkan kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang boleh dihukum.

Malah, Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan Perlembagaan merupakan undang-undang utama dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari merdeka adalah terbatal jika bertentangan dengan perlembagaan.

Isu kerajaan tidak sepatutnya menjadi polis moral juga tidak boleh diterima kerana kerajaan bertanggungjawab mengawal tata kelola masyarakat, menjamin rakyat hidup aman dan damai.

Undang-undang kesalahan jenayah syariah yang hendak dimansuhkan sebenarnya terdiri daripada beberapa bahagian yang mengandungi kesalahan-kesalahan amat terhad iaitu kesalahan berhubungan dengan akidah (Bahagian II), Kesalahan berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya (Bahagian III), Kesalahan berhubungan dengan kesusilaan (Bahagian IV) dan Kesalahan pelbagai (Bahagian V).

Meneliti senarai tersebut, sudah pasti kita akan mendapati undang-undang itu amat perlu bagi menjaga maslahah umat Islam di negara kita. Tidak timbul isu bahawa kerajaan mengganggu kebebasan rakyat kerana kesalahan tersebut memang jelas bertentangan dengan kehendak Islam.

Undang-undang jenayah sivil juga pada awalnya berteraskan kepada undang-undang moral, misalnya mencuri dilihat sebagai perbuatan yang tidak bermoral kerana ia akan mengakibatkan kezaliman dan kegagalan menjamin hak rakyat menggunakan harta. Oleh itu, suatu undang-undang digubal bagi menangani gejala tersebut dan dijadikan suatu kesalahan. Kodifikasi undang-undang dirangka dan dibentuk dalam suatu akta.

Sekiranya kita tidak mahu mencampuri urusan moral, maka terpaksalah kita mengkaji semula banyak undang-undang kesalahan jenayah yang sedang berkuat kuasa dan sudah tentulah ia akan merobek keutuhan masyarakat kita yang telah jelas susun aturnya.

Sebagai masyarakat yang begitu luhur adab sopannya dan begitu mendalam agamanya, sudah semestinya persoalan moral amat dititikberat oleh masyarakat Melayu Islam.

Justeru, sebarang usaha untuk memansuhkan enakmen jenayah syariah tidak dapat diterima langsung oleh orang Islam arus perdana. Golongan liberal dan pemimpin negara hendaklah menghormati kedudukan serta sensitiviti masyarakat Islam arus perdana ini.

Malaysia bukan tiba-tiba muncul pada tarikh kemerdekaan negara. Susun atur yang ada beratus tahun sebelum merdeka telah menjana kedudukan agama Islam yang istimewa di negara kita termasuklah undang-undang jenayah syariah.

Memansuhkan undang-undang jenayah syariah yang telah merentasi masa yang panjang hanya akan membawa implikasi serius dan menafikan hak orang Islam untuk mengamalkan agamanya sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca