PADA 12 Jun lalu, Parlimen Malaysia mencatat sejarah apabila Laporan Penyata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tahun 2020 dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Dr Azalina Othman Said, sebelum dibahaskan di sidang Dewan Rakyat buat kali kedua selepas sidang Parlimen tahun 2019.
Laporan itu mengandungi tujuh bab yang menjelaskan aktiviti sepanjang tahun 2020 serta butiran terperinci pentadbiran dan kewangan termasuk berkaitan isu pemerdagangan orang, pelarian serta pencari suaka, perniagaan dan hak asasi manusia.
Dengan sesi perbahasan terhadap laporan itu, jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan bagi mengangkat inisiatif memperkukuh pemeliharaan hak asasi manusia di negara ini.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Khairil Anwar Mohd Amin bersama Ahli Parlimen Pengerang itu bagi menyelami cabaran memperkasakan peranan Suhakam agar menjadi sebuah suruhanjaya ‘bertaring’, mencari keseimbangan di antara isu hak asasi manusia dengan nilai agama dan cadangan penubuhan Pejabat Suruhanjaya Kanak-Kanak bagi mengangkat martabat golongan itu pada masa hadapan.
SINAR AHAD: Mengapa Datuk Seri merasakan perbahasan Laporan Suhakam Tahun 2020 di Parlimen signifikan, sedangkan Akta Suhakam 1999 menetapkan laporan ini hendaklah dibentangkan di Parlimen tetapi tidak menyatakan untuk dibahaskan?
AZALINA: Ini kerana pembentangan Laporan Suhakam pada tahun 2019 dibuat berasaskan Laporan Suhakam Tahun 2018 dan hanya berlangsung di Parlimen separuh hari. Tidak silap saya jumlah pembahas pun hanya 10 orang.
Saya dimaklumkan tempoh perbahasan kali ini mengambil masa dua hari dan disertai lebih 37 pembahas. Macam saya cakap dalam pembentangan laporan itu di Dewan Rakyat tempoh hari, kita bukan hendak mencari kesalahan. Kita lebih hendak mewujudkan situasi yang dapat membantu kerajaan terutama sekali agensi-agensi terlibat dalam isu hak asasi.
Antara elemen paling ditekankan adalah komitmen kerajaan untuk melihat perbahasan dibawa ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang, bukan sahaja diterima malah diolah dan didengar kerajaan. Jika isi perbahasan itu baik, maka perlu dilaksanakan. Yang akan menjawab adalah semua menteri yang terlibat dalam elemen Suhakam, bukan sekadar Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi sahaja.
Jabatan Perdana Menteri Bahagian Undang-Undang pula akan menjadi penggulung terakhir. Pembentangan Laporan Suhakam 2020 ini penting kerana menteri baharu dalam Kerajaan Madani, perlu menilai apa yang berlaku pada tahun 2020.
Dalam elemen thematic itu, ada enam atau tujuh perkara yang diberikan pengkhususan. Contohnya dalam isu kewarganegaraan, menteri bertanggungjawab perlu jawab persoalan dibangkitkan dalam Laporan Suhakam. Selain kerajaan baharu yang dipimpin Perdana Menteri ke-10, kita juga hendak mendengar daripada menteri-menteri yang terlibat dalam isu hak asasi ini, dalam perspektif mereka yang bertanggungjawab kepada agensi diberikan kuasa untuk melaksanakan elemen pentadbiran.
Juga respons kepada cadangan, pandangan dan perspektif daripada ahli Parlimen, sama ada blok kerajaan atau pembangkang. Macam saya lebih dari sudut undang-undang. Contohnya, dalam isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan ibu rakyat Malaysia di luar negara, saya bertanggungjawab kepada pindaan Perlembagaan (Persekutuan).
Tetapi pelaksanaan pindaan perlembagaan adalah di bawah agensi kementerian terlibat iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN). Menteri yang bertanggungjawab perlu melihat bagaimana sudut pelaksanaannya. Sebab itu dalam ruang pembentangan Laporan Suhakam, ini platform terbaik untuk ahli Parlimen bertanya dan menteri berkenaan menjawab setiap persoalan dikemukakan.
Saya sendiri dimaklumkan Menteri KDN akan hadir untuk menjawab. Itu perbezaan besar sesi pembentangan Laporan Suhakam 2020 di Parlimen berbanding sidang terdahulu.
SINAR AHAD: Mengapa baru tahun ini Laporan Suhakam Tahun 2020 dibentang di Parlimen? Tidakkah laporan itu dianggap backdated dan mungkin tidak lagi relevan?
AZALINA: Tidak adalah...kalau laporan tahun 2018, maka ia akan dibentangkan pada tahun 2019. Laporan akan dibentangkan pada tiap-tiap tahun atas meja Parlimen. Ini memang dilaksanakan di bawah Seksyen 21 (1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 1999. Ia perlu dibentangkan. Sama ada perlu dibahaskan tidak dilihat sebagai satu tanggungjawab.
Dari tahun 2019 sehingga pembentangan Laporan Suhakam 2020, kalau kita kaji, banyak isu ditimbulkan masih belum dapat diselesaikan. Tetapi bezanya adalah penerimaan Kerajaan Madani hari ini yang mahu melihat penerimaan cadangan mengubah kepada kebaikan. Antara elemen penting Madani itu adalah elemen ehsan. Ehsan adalah hubungan kita sesama manusia.
Itulah bezanya komitmen kerajaan hari ini dalam membentangkan Laporan Suhakam 2020. Kita mahu menjadi #walkthetalk. Kalau setakat bentang, bahas separuh hari dan hanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang dan Parlimen) menjawab, tidak ada impak besar.
Tetapi apabila kita mendapati menteri dan kementerian bertanggungjawab memberi jawapan berasaskan persoalan dibangkitkan, ia akan memberi lebih makna. Ini supaya ahli Parlimen akan merasakan perbahasan yang dibawa mereka berasaskan suara rakyat akan dijawab, sama ada secara lisan atau bertulis.
Saya sebut dalam pembentangan saya, peranan dimainkan Jawatankuasa Pemilihan Khas (JPK) Parlimen amat penting, sebab kita tahu pada sidang Parlimen, dalam Peraturan Mesyuarat terdapat jawatankuasa-jawatankuasa pemilihan khas. Jawatankuasa ini perlu menjadi ejen semak dan imbang kepada peranan agensi kerajaan.
Contohnya, pada sesi Parlimen tahun lalu, saya menjadi Pengerusi JPK Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Hak Asasi Manusia. Jadi banyak perkara yang kita boleh perbaharui sebab ahli Parlimen, peranan dia tidak boleh sekadar masuk dan keluar Parlimen untuk berbahas semata-mata. Mereka perlu menjadi mata dan telinga kepada rakyat.
Sebab itu, elemen perbahasan adalah kaedah perhubungan dua hala di antara ahli Parlimen dan menteri yang bertanggungjawab atau timbalan menteri. Sekurang-kurangnya agensi kerajaan yang mendengar perbahasan tahu bahawa ramai rakyat sedang bercakap berkenaan topik dibincangkan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Kita boleh menafikan dan menidakkan tetapi kita tidak boleh menolak hakikat bahawa apa yang kita lakukan akan menjadi isu kepada rakyat. Ini akan menjadi beban kepada kerajaan yang dipilih rakyat.
Komitmen kerajaan hari ini iaitu Kerajaan Madani adalah berteraskan konsep ehsan, melihat isu dibangkitkan sebagai satu masalah dan mencari penyelesaian secara bersama.
Sebab itu saya kata, sesi ini bukan platform untuk kita tuding jari, mencari salah atau marahkan sesiapa. Lebih kepada usaha kita untuk muhasabah diri sebagai kerajaan bertanggungjawab bagi melihat apa yang perlu dilaksanakan demi kebaikan rakyat. Itu sebab wakil rakyat diletakkan di Parlimen.
Kalau wakil rakyat tidak berminat hendak berbahas isu hak asasi, mereka merasakan kawasan mereka tiada isu itu, kita tidak boleh paksa. Mungkin bagi mereka, isu pembangunan lebih penting.
Tetapi negara kita sebuah negara yang cukup unik. Kita ada wilayah Sabah dan Sarawak, kawasan pantai timur, utara dan selatan. Jadi berbeza dari segi ukuran hak asasi, bahkan juga nilai. Kita juga ada masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama untuk menilai sistem nilai kita.
SINAR AHAD: Bagaimana kerajaan hendak memastikan bahawa sebarang tuntutan Suhakam mengenai hak asasi manusia untuk menjalani kehidupan seharian, hak beragama dan tuntutan kesamarataan hak lelaki dan wanita tidak melampaui garis sempadan mana-mana agama dianuti rakyat negara ini?
AZALINA: Kadang-kadang orang menilai isu hak asasi ini sebagai nilai Barat. Tetapi saya ada mendengar perbahasan Ahli Parlimen Bangi yang menyebut ia tidak menekan kepada elemen nilai Barat sahaja. Ia perlu berpandukan nilai dan acuan negara kita. Tetapi isu ini dua perkara berbeza.
Kalau wakil rakyat tidak berminat hendak berbahas isu hak asasi, mereka merasakan kawasan mereka tiada isu itu, kita tidak boleh paksa. Mungkin bagi mereka, isu pembangunan lebih penting. Tetapi negara kita sebuah negara yang cukup unik. Kita ada wilayah Sabah dan Sarawak, kawasan pantai timur, utara dan selatan. Jadi berbeza dari segi ukuran hak asasi, bahkan juga nilai.
Pertama adalah masalah yang ada di depan mata kita. Tidak menghormati sesama manusia, menzalimi insan lain.
Sebagai contoh, isu hubungan ehsan di antara majikan dan pekerja. Saya banyak kali sebut apabila pekerja tiada masa hendak makan, solat dan bercuti, itu tekanan yang diberikan oleh majikan. Bagi saya ini bukan elemen ditekankan Islam. Islam pun menekankan elemen penghormatan sesama manusia.
Tidak bolehlah bila kita hendak bercakap tentang keganasan terhadap manusia, isu mengaibkan dan menzalimi manusia lain, agama membenarkan perkara itu berlaku. Ini satu kenyataan orang yang penakut.
Pada saya, kita mesti memahami perubahan dua fasa. Fasa pertama adalah implikasi kepada perlakuan tersebut. Ia dilihat sebagai sesuatu yang menyalahi undang-undang. Negara kita bertamadun dan berpandukan undang-undang. Kedua adalah penyelesaian yang mengikut undang-undang.
Sebab apa yang dilakukan adalah perlakuan, itu suatu perkara diperdebatkan tetapi penyelesaian isu adalah lebih penting. Kemungkinan perbahasan ini akan menilai kepada undang-undang sedia ada, sama ada perlu dinaik taraf atau diperbaiki undang-undang lapuk, longgar dan lemah.
Sebab itu, kita adalah badan legislatif yang membuat undang-undang. Apabila kita berbahas sebagai ahli Parlimen, kita berbahas dalam aspek undang-undang. Mungkin kita perlukan undang-undang lebih ketat atau longgar untuk disesuaikan dengan hak asasi kita.
Tetapi kita tidak boleh jika berlaku kezaliman, kita diamkan. Tak apalah kalau kezaliman berlaku namun isu berbeza agama, dibenarkan...berbeza jantina, dibenarkan...perbezaan bangsa, dibenarkan. Mana boleh? Jenayah tetap jenayah.
Tetapi kalau pelaku jenayah tersebut adalah mereka yang mempunyai kuasa sebagai penguat kuasa, tahap kuasa mereka tidak boleh sampai tahap menzalimi dan melanggar undang-undang. Hendak melaksana tugas tak apa, tetapi tidak boleh sampai langgar undang-undang.
Ini elemen hak asasi dan ada kena mengena dengan elemen agama. Sebab itu saya tidak faham, baru sahaja kita bercakap isu hak asasi, ada orang sudah marah. Yang kita bercakap adalah dari sudut acuan Malaysia, undang-undang Malaysia yang diluluskan di Parlimen sebab kita adalah negara demokrasi berparlimen.
Saya pun tidak boleh terima kalau ada pihak yang menganggap perbincangan isu hak asasi sebagai pelanggaran nilai-nilai keagamaan mereka. Bagi saya, pihak sedemikian ini tidak berfikir. Bila tidak berfikir, kadangkala dia akan terlampau beremosi. Bila berbicara soal negara, seseorang itu perlu ada kepintaran akal dan emosi. Bagi saya, kalau ada kebijaksanaan tetapi tiada kepandaian pun tidak boleh.
SINAR AHAD: Apa perkara penting yang boleh ditekankan kerajaan mengenai kandungan Laporan Suhakam Tahun 2020 ini?
AZALINA: Saya tengok Laporan Suhakam ini, ia disiasat secara bebas dan menyeluruh. Tetapi perkara yang lebih penting dan baharu yang perlu kita kaji ialah mengambil kira elemen perniagaan.
Saya hendak tekankan di sini bahawa kita selalu melihat isu hak asasi ini adalah hubungan manusia dengan manusia. Tetapi keberkesanannya adalah juga kepada perniagaan. Sebab itu saya sebut banyak kali beberapa tahun dahulu mengenai sebuah syarikat pelabur asing yang tersenarai di Bursa Malaysia yang ‘lari’ sebab syarikat ini tidak menghormati isu hak asasi.
Jadi Malaysia rugi beberapa juta ringgit disebabkan syarikat ini menguruskan produk perkakas pencegahan Covid-19. Saya tidak boleh sebut nama syarikat ini sebab tidak pasti ia masih tersabit kes mahkamah atau tidak. Pelaburnya dari Amerika Syarikat.
Apa yang berlaku, mungkin terdapat elemen pengendalian antara syarikat dengan pekerja yang menyebabkan tindakan dilakukan syarikat itu dilihat melanggar hak asasi. Jadi pelabur itu keluar. Syarikat besar tersenarai Bursa Malaysia itu terpaksa ditutup pada ketika itu.
Sebab itu dalam pembentangan Laporan Suhakam 2020, saya menyebut mengenai Pelan Tindakan Kebangsaan Untuk Perniagaan dan Hak Asasi (NAP BHR). Sekarang ini hendak bercakap pasal alam sekitar pun, syarikat pelabur asing akan lari. Baru-baru ini kita mendengar beberapa syarikat antarabangsa yang berada di Selangor ditutup atas kekalahan di mahkamah dan tiada kemampuan membayar ganti rugi.
Jadi mereka tarik ‘brek tangan’ dan terpaksa pulang ke negara masing-masing. Jadi itu akan menjadi satu ‘permaidani baharu’, di mana isu hak asasi pun akan mempengaruhi hala tuju perniagaan. Dahulu kita hanya ingat hak asasi hanyalah hubungan di antara individu dan penguat kuasa. Sekarang ia sudah melebihi tahap itu.
Syarikat yang berniaga, tidak kira kecil atau besar, sekiranya mereka tidak dapat menghormati hak asasi pekerja, pelabur asing dalam syarikat tersebut akan tarik ‘brek tangan’.
Ini kita perlu ingatkan kepada rakyat Malaysia, isu hak asasi pada hari ini, dengan perkembangan teknologi maklumat dan teknologi media, tidak semestinya apa berlaku di negara ini, dunia tidak akan tahu.
Jadi kalau kita menzalimi pekerja asing di negara kita dalam apa aspek sekali pun, walau syarikat kita dianggap gergasi di peringkat antarabangsa, katakan syarikat Proton contohnya, siapa hendak beli kereta syarikat itu kalau isu hak asasi tidak diambil perhatian.
Saya banyak kali beri contoh orang berniaga apa-apa produk pun, ditambah pertumbuhan ekonomi digital dan gig, bentuk ekonomi seperti ini akan menimbulkan persepsi perniagaan baharu.
Justeru, laporan status perniagaan itu akan dilaporkan secara dalam talian. Jadi kalau secara tiba-tiba, maklumat berkaitan syarikat yang tidak menjaga hak asasi pekerja dimuat naik di media sosial, maka pelabur syarikat itu terus akan lari.
Oleh itu, saya hendak mengingatkan kepada semua peniaga dan pengusaha syarikat, kita jangan ingat isu hak asasi tertumpu kepada pihak penguat kuasa undang-undang sahaja. Paling penting, kita negara pelancongan. Memang kita mengamalkan industri pelancongan tertib, tetapi kalau kita menzalimi insan lain, ia akan beri implikasi negatif.
Saya bagi contoh, kes adik-adik kita yang menjadi mangsa kepada scammer penawaran pekerjaan di negara asing. Saya rasa ada agensi kerajaan yang kerap memberikan nasihat supaya berhati-hati meneliti tawaran syarikat sebegini, agar mereka tidak termakan dengan tawaran dan ‘gula-gula’ gaji besar. Bila mereka pergi ke negara tersebut, anak-anak muda ini ‘ghaib’, diseksa, dijual dan dijadikan mangsa pemerdagangan manusia.
Cuba kita bayangkan, adakah negara-negara terlibat boleh menerima pelancong selepas ini? Kita hendak menjadi pelancong negara itu pun kena fikir dua kali. Kita sebagai negara yang banyak elemen pelancongan, akan berhadapan situasi sama sekiranya tidak berjaga-jaga dalam menangani isu hak asasi. Sebenarnya isu hak asasi melebihi di antara hubungan manusia-manusia.
SINAR AHAD: Apa fokus skop pindaan Akta Suhakam 1999 yang bakal dicadangkan kerajaan bagi memastikan suruhanjaya itu menjadi harimau yang bertaring?
AZALINA: Saya yakin hasil perbahasan oleh ahli Parlimen akan diteliti kerajaan. Sudah tentu pelantikan ahli-ahli pesuruhjaya Suhakam, dari segi kebolehan dan kebebasan. Kemudian kita akan pastikan Laporan Suhakam dibahaskan secara tahunan.
Kemudian pindaan itu kita perlu teliti dan kenal pasti. Dalam perbahasan, saya mendengar ada ahli Parlimen bercakap tentang perwakilan suruhanjaya. Ini perlu juga mewakili kategori rakyat Malaysia tertentu dan tidak boleh dikuasai satu kumpulan tertentu semata-mata.
Tidak bolehlah golongan intelektual sahaja menguasai perwakilan Suhakam. Kadangkala suara badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) pun hendak beri pendapat. Kemudian, perlu tumpu juga pada elemen akauntabiliti Suhakam.
Paling penting ialah ‘roadmap’ Pelan Tindakan Hak Asasi Kebangsaan (NHRAP) yang dahulu diwujudkan pada tahun 2018, perlu dikaji semula dan diperbaharui supaya ia menjadi modul pemantauan kepada agensi kerajaan. Sebab elemen hak asasi tidak boleh tertumpu kepada undang-undang sahaja, tetapi perlu mencakupi pelaksanaan dari segi pentadbiran dan sebagainya.
Itu kita perlu kaji, sebab itu perbahasan Laporan Suhakam diadakan selama dua hari dan melibatkan lebih 37 pembahas. Dengan keseriusan dan sifat terbuka kerajaan, saya melihat pendekatan Perdana Menteri selaku Ketua Majlis dan Tan Sri Speaker Parlimen yang mahukan perbahasan lebih lama menunjukkan amalan demokrasi berparlimen negara ke arah tanda aras lebih baik.
Saya selalu percaya bahawa kalau ada banyak perbahasan dalam Parlimen yang dilihat sebagai badan semak dan imbang, ia akan menunjukkan keseriusan kerajaan. Kemudian peranan Jawatankuasa Pemilihan Khas (JPK) yang disebutkan tadi, kita ada JPK untuk isu hak asasi.
Jadi Pengerusinya, William Leong perlu memainkan peranan besar dalam mengangkat isu ini. Ini pula satu jawatankuasa baharu. Mungkin dalam soal pindaan Akta Suhakam 1999, JPK ini akan memainkan peranan untuk membantu kerajaan bagi menilai jenis pindaan dan laporan baharu.
SINAR AHAD: Terdapat pandangan bahawa kaedah pemilihan jawatankuasa Pesuruhjaya Suhakam mesti bersifat bebas dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Adakah draf cadangan pindaan Akta Suhakam bakal mengambil kira pandangan itu?
AZALINA: Sebab itu kita hendak dengar perbahasan ahli-ahli Parlimen. Kemudian kita akan sambung dengan libat urus. Suhakam pun mempunyai pandangan sendiri dan saya percaya suruhanjaya itu sudah mempunyai draf pindaan yang mereka sudah fikirkan untuk penambahbaikan pelaksanaan tanggungjawab mereka.Itu yang saya katakan kita akan laksanakan secara holistik.
SINAR AHAD: Berapa lama tempoh diperlukan untuk melaksanakan pindaan Akta Suhakam 1999?
AZALINA: Selepas mendengar perbahasan Laporan Suhakam, kita tengok apa bentuk pindaan diperlukan. Saya tidak rasa ia dapat diselesaikan pada sesi sidang Parlimen kali ini. Mungkin perkara itu boleh berlaku pada sesi Parlimen akan datang.
Tetapi yang penting pada saya, sebagai contoh Suruhanjaya Kanak-Kanak. Ia perlu ada akta khas. Kanak-kanak ini kadangkala mahu bersuara, tetapi tiada siapa yang boleh mewakili mereka. Itu yang kerajaan perlu buat satu per satu.
Fokus saya adalah Suruhanjaya Kanak-Kanak perlu dijadikan badan yang bebas.
Klik di sini untuk terus membaca