PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak goyang dengan strategi Perikatan Nasional (PN) dan Pas bagi menawan 33 kerusi majoriti pengundi Melayu serta merampas kerajaan negeri Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) itu nanti.... Klik di sini untuk terus membaca

PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak goyang dengan strategi Perikatan Nasional (PN) dan Pas bagi menawan 33 kerusi majoriti pengundi Melayu serta merampas kerajaan negeri Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) itu nanti.

Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau yakin 100 peratus bahawa kerjasama jentera PH-BN membolehkan koalisi perdana itu mempertahankan status quo kerajaan negeri sekarang.

Justeru, Mohd Khairuddin berkata, jentera pilihan raya PH-BN kini sudah bersiap sedia bagi menghadapi saingan sengit dan strategi kempen yang bakal digunakan PN dalam PRN Selangor.

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu percaya pengundi di Selangor bijak membuat penilaian dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen kempen 3R iaitu perkauman, keagamaan dan institusi diraja yang mungkin dibangkitkan PN dalam PRN nanti.

"Rakyat Selangor lebih terpengaruh dengan isu ekonomi, pembangunan dan peluang pekerjaan yang sudah ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Pada Sabtu, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir menyatakan PN yakin akan memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN, di mana kesemua kerusi itu merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus.

REBUT KAWASAN MELAYU

Untuk rekod, mana-mana parti yang bertanding PRN Selangor memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi DUN untuk mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Ketika ini, PH Selangor memiliki 40 kerusi DUN, diikuti BN (lima DUN), PN (empat kerusi), Parti Pejuang Tanah Air (dua kerusi), Parti Bangsa Malaysia (dua kerusi), Parti Warisan (satu kerusi) dan DUN Batang Kali yang dikosongkan kerusi kerana wakil rakyat berkenaan, Harumaini Omar dari Pejuang gagal hadir diri tanpa kebenaran, semasa persidangan DUN melebihi enam bulan.

Bagaimanapun, berdasarkan data Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 34 kawasan DUN yang mempunyai majoriti lebih 60 peratus pengundi Melayu dan bakal menjadi rebutan gabungan PH-BN dan PN pada PRN Selangor.

Sebanyak 10 kerusi DUN mempunyai majoriti pengundi Melayu paling ramai yang mana, sembilan DUN dengan komposisi pengundi daripada kaum itu melebihi 70 peratus.

Bagi lebihan 15 kerusi pula, DUN Selangor merekodkan majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, rundingan pembahagian kerusi di antara PH dan BN kini sudah selesai biarpun senarai nama hanya akan diumumkan beberapa hari sebelum hari penamaan calon berlangsung.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah sebenar kerusi bakal ditandingi PH dan BN hanya akan diumumkan Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor selepas DUN negeri itu dibubarkan hujang bulan ini.

Selain itu, beliau juga yakin kemasukan beberapa bekas pemimpin berpengaruh daripada BN seperti Tan Sri Noh Omar ke dalam PN tidak akan menjejaskan peluang PH untuk terus berkuasa di Selangor.

Tambahnya, majoriti pengundi muda, pengundi kali pertama dan golongan atas pagar masih bersama gabungan itu biarpun semua parti sedang berusaha memenuhi aspirasi kumpulan terbabit.

Klik di sini untuk terus membaca