JOHOR BAHRU - Eksport bahan makanan laut terutama ikan ke Singapura didakwa menjadi punca harga meningkat di bandar raya ini.
Peniaga ikan, Azal Mohd Rawi, 55, berkata, apabila ikan, udang dan ketam dihantar ke negara jiran itu, berlaku kekurangan bekalan di Johor.
"Boleh dikatakan semua harga ikan naik ketika ini. Contohnya, ikan selayang sebelum ini RM9 atau RM10, sekarang terpaksa jual RM13. Kembung dulu dijual RM21 sekarang RM23 atau RM24 dan selar selar kuning dulu RM18 sekarang RM22.
"Kita peniaga berdepan masalah pembekal yang menjual harga mahal. Pembekal yang ada lebih utamakan bekalan untuk dihantar ke Singapura,” katanya ditemui di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah, Larkin di sini.
Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila terdapat kegiatan menyeludup ikan ke negara jiran, sekali gus menjejaskan bekalan di sini.
Sementara itu, rakan Azal, Yusri Izhar, 43, yang juga berniaga ikan di pasar tani tersebut turut mengakui bahan makanan laut yang tidak berkualiti dihantar ke pasar-pasar basah di sini tetapi pembekal tetap menjualnya pada harganya mahal.
"Kami dapat pada harga yang tinggi daripada pembekal. Peniaga ikut pembekal, kalau harga diberikan mahal, kita pun ikut mahal. Kita bukan untung besar pun,” ujarnya yang sudah 20 tahun berniaga ikan.
Klik di sini untuk terus membaca