KUALA LUMPUR - Laut bergelora dikatakan antara punca beberapa jenis ikan yang dijual di Pasar Selayang di sini naik harga.
Bagaimanapun, tinjauan Sinar Ahad mendapati, harganya berubah-ubah setiap hari mengikut keadaan semasa.
Peniaga ikan, Zai Ashriq Ibrahim, 26, berkata, harga ikan tongkol yang dijualnya ialah RM9 sekilogram pada Jumaat lepas tetapi turun kepada RM7 pada Sabtu.
Bagaimanapun, katanya, harga ikan pelaling yang dijual RM12 naik pula kepada RM15 sekilogram.
Jelasnya, ini disebabkan harganya bergantung kepada bekalan, bagaimanapun tidak memberi kesan kepada jualan harian.
"Harga ikan biasanya naik sehari dua, kemudian akan turun semula. Jika dapat bekalan mahal, kita naikkan sedikit harga, begitu juga sebaliknya,” katanya kepada Sinar Ahad.
Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali Ng, 60, berkata, harga ikan di Pasar Selayang untuk tempoh dua minggu ini adalah berpatutan.
Dia memberi contoh, ikan sardin dan kembung masing dijual RM10 dan RM13 sekilogram.
"Jumlah pelanggan masih sama. Cuma, apabila harga murah mereka tak mahu beli tetapi apabila sudah mahal baru bising mahu beli,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca