SEJAK kebelakangan ini terdapat banyak ulasan semberono oleh pemimpin politik dan kemudian diikuti oleh rakyat biasa secara membuta tuli sehingga menimbulkan kecelaruan serta kekeliruan kepada masyarakat. Minggu lalu, berderu-deru pemimpin... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK kebelakangan ini terdapat banyak ulasan semberono oleh pemimpin politik dan kemudian diikuti oleh rakyat biasa secara membuta tuli sehingga menimbulkan kecelaruan serta kekeliruan kepada masyarakat.

Minggu lalu, berderu-deru pemimpin UMNO menuduh bekas Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa sebagai penipu dan pelawak kerana mendakwa lebih dua juta ahli UMNO meninggalkan parti sejak 2018.

Ia bermula daripada kesilapan tajuk berita sebuah akhbar yang diulas oleh Pengarah Komunikasi UMNO dan kemudiannya berbondong-bondong pemimpin UMNO mengulas serta mengherdik Annuar.

Bagaimanapun, semakan terhadap ucapan Annuar dan laporan media lain adalah sangat berbeza dengan pemahaman sebahagian pemimpin UMNO. Sebenarnya Annuar dalam ucapan itu menyatakan lebih dua juta rakyat yang menyokong UMNO telah meninggalkan parti tersebut sejak beberapa tahun lalu. Ia diukur daripada jumlah undi diterima Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya pada 2013 dan 2022.

Kesalahan ulasan terhadap isu Annuar bukanlah besar walaupun tampak memalukan bekas partinya. Ia tidak menjejaskan negara dan rakyat. Ia hanya menjejaskan ego sebahagian orang.

Namun, yang membimbangkan adalah sikap sama oleh ahli politik dan sebahagian rakyat yang vokal terhadap isu-isu lain boleh menjejaskan pembangunan serta kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Kita ambil contoh, penamatan model internet 5G menggunakan Digital Nasional Berhad (DNB). Perubahan model bukanlah dibuat atas dasar kepentingan negara dan pengguna tetapi kerana model tersebut dilaksanakan oleh parti lawan serta terdapat tuduhan bahawa DNB menjadi penyumbang dana politik kepada Bersatu.

Terbaharu, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor diserang daripada pelbagai sudut kerana mencadangkan kod etika jururawat dikaji semula agar patuh syariah.

Dalam ucapan selama lima minit ketika perbahasan Kertas Putih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Wan Razali menyentuh beberapa perkara, selain menyokong laporan kertas putih itu bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.

Namun, ucapan beliau mengenai kod etika jururawat yang mengambil masa sekitar 44 saat daripada lima minit ucapan beliau dijadikan bahan perbahasan dan serangan.

Wan Razali dan Pas dituduh gila seks, berfikiran kotor serta ghairah melihat jururawat wanita berpakaian ketat. Malah, rakan Pas iaitu Gerakan turut mendesak Wan Razali memohon maaf kepada profesion jururawat.

Ia seolah-olah membincangkan sesuatu hal di Parlimen yang mengaitkan dengan kehendak syariah sudah menjadi taboo kepada kerajaan. Ucapan Wan Razali tidak mengeluarkan kata-kata lucah atau memberi gambaran pakaian jururawat wanita menaikkan nafsu lelaki, sebaliknya ucapan beliau penuh sopan bersifat mencadangkan kepada sesuatu lebih baik.

"Saya ingin bertanya, adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan Barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelonggaran?”

Malah, beliau memberi contoh pakaian patuh syariah yang beliau hasratkan: "Contohnya, Hospital USM (Universiti Sains Malaysia) Kubang Kerian dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Kuantan. Tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua hospital ini yang memberi pilihan etika lebih baik buat pekerja,” tambah Wan Razali.

Dalam ucapan beliau juga langsung tidak mengaitkan isu kod etika pakaian itu dengan Islamik atau tidak kerajaan hari ini. Beliau hanya bertanya apakah kerajaan tidak boleh mempertimbangkan kelonggaran dalam etika pemakaian jururawat wanita agar patuh syariah.

Mereka yang vokal kini tidak lagi berminat berbahas atas kebenaran dan nilai intelektual tetapi bertolak dari sisi fraksi politik, ideologi, kaum serta agama.

Sebagai seorang Muslim, kita ada tanggungjawab membincangkan hal-hal tuntutan agama secara waras dan bersederhana, sesuai dengan idea masyarakat madani.

Jika perbincangan berhemah seperti itu pun sudah dijawab dengan serangan pembunuhan karakter, mungkin idea masyarakat madani bukan sahaja belum sampai kepada rakyat, malah di peringkat ahli politik kerajaan pun masih tersangkut.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca