IPOH - Kekurangan ikan antara punca menyebabkan harga ikan di pasaran ketika ini meningkat walaupun permintaan seperti biasa.
Peniaga, Muhammad Najib Abdul Mutalib, 45, berkata, kenaikan harga ikan ketika ini memang ketara memandangkan harga diambil dari pelantar meningkat berbanding beberapa tahun lalu.
Menurutnya, perkara itu tidak dapat dielakkan disebabkan hasil ikan berkurangan tetapi jumlah peniaga yang mahu bekalannya tinggi.
"Bekalan ikan ini saya ambil dari Bagan Datuk dan Pantai Remis. Dulu ikan kembung boleh dapat RM10 untuk empat kilogram tetapi sekarang ini harga di pelantar ikan antara RM10 hingga RM12 untuk sekilogram. Sebab itu ada ikan yang terpaksa dijual sehingga RM16 hingga RM18 sekilogram.
"Bukan sahaja pelanggan merungut harga mahal, kami peniaga pun rasa tertekan sebab tak sampai hati nak jual tinggi. Kasihan pada orang yang tak mampu, mereka terpaksa fikir banyak kali nak beli," katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau bagaimanapun berkata, ada peniaga yang kreatif untuk membuat jualan dengan meletakkan ikan di atas pinggan pada harga mampu dibeli berbanding secara timbang.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar Ipoh mendapati harga ikan masih berpatutan walaupun harga meningkat.
Ada juga dalam kalangan pengguna memilih untuk membeli ikan daripada peraih kerana harga yang lebih berpatutan berbanding membeli di kedai runcit.
Harga yang ditawarkan oleh peraih bagi ikan kembung ialah RM12 sekilogram, manakala ikan cencaru dijual pada harga RM10 sekilogram, selain sotong (RM28 sekilogram) dan udang (RM24 sekilogram).
Klik di sini untuk terus membaca