SALAH satu penanda aras bagi syarikat korporat ialah penerimaan sahamnya oleh pelabur. Sebab itulah pemilik syarikat korporat berlumba-lumba menyenaraikan saham mereka di pasaran saham. Melalui tindakan itu, mereka memperoleh modal baharu... Klik di sini untuk terus membaca

SALAH satu penanda aras bagi syarikat korporat ialah penerimaan sahamnya oleh pelabur. Sebab itulah pemilik syarikat korporat berlumba-lumba menyenaraikan saham mereka di pasaran saham.

Melalui tindakan itu, mereka memperoleh modal baharu dan mendapatkan balik modal yang telah dikeluarkan, membuat keuntungan segera melalui keuntungan modal (capital gain) serta berkongsi risiko dengan lebih ramai orang.

Kerana itulah boleh dikatakan semua negara di dunia mendirikan bursa saham sebagai salah satu institusi penting dalam sistem ekonomi.

Antara syarikat tertua di Malaysia dan paling lama disenaraikan di Bursa Malaysia ialah Boustead Holdings Bhd. Sejarahnya bermula dengan Edward Boustead, seorang peniaga Inggeris yang memulakan peniagaan eksport-import di Singapura pada 1828.

Sebagai syarikat yang turut bergiat di Malaysia, sejarahnya cukup panjang dan mula mengambil identiti Malaysia mulai 1966 apabila menukar namanya kepada Boustead Holdings Berhad. Pada 1976, ia menjadi syarikat yang dimiliki pelabur tempatan apabila sebahagian besar sahamnya dibeli oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ia adalah pada zaman pentadbiran Almarhum Tun Hussein Onn – seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat dengan Tentera India pada zaman British dengan pangkat kapten.

Untuk satu tempoh masa agak lama, LTAT dengan jayanya menggunakan Boustead sebagai jentera bagi memperluaskan perniagaannya. Pada 1984, Boustead membeli 20 peratus saham UAC Berhad dan pada 1990, Boustead menjadi syarikat kawalan LTAT.

Pada 1992, LTAT menceburi bidang kewangan dengan membeli 30 peratus saham Affin Holdings Berhad, syarikat induk Affin Bank. Pada 1997, ia memasuki industri pembinaan kapal dengan membeli 20 peratus saham PSC Industries Berhad. Terbukti pada kemudian harinya, bidang itu mencetuskan paling banyak masalah kepada Boustead dan LTAT.

Pada 2005, krisis pengurusan dan kewangan memaksa kerajaan menggabungkan PSC dan Naval Dockyard Sdn Bhd di bawah Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd. Hari ini nama LTAT tercemar dan kesiapsiagaan pertahanan negara terancam akibat skandal pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Projek RM6 bilion itu diberikan kepada anak syarikat Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 2011 tetapi sehingga kini belum siap.

Penyiasatan mendapati LTAT mengalami masalah kewangan dan tadbir urus yang teruk. Sampai hari ini pun, ia masih dalam proses membersih dan memperbetulkan kelemahan serta pengabaian tanggungjawab oleh pengurusan masa lampau.

Menyedihkan adalah hakikat bahawa pengurusan LTAT melibatkan ramai bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Perkembangan terbaharu – LTAT terpaksa membatalkan penyenaraian Boustead Holdings Bhd di Bursa Malaysia dengan melakukan pembelian balik saham-sahamnya.

Boustead yang begitu lama sejarahnya dan menjadi peneraju perniagaan LTAT akhirnya kecundang kerana pengurusan bermasalah. Menurut LTAT, penarikan keluar Boustead Holdings Bhd daripada Bursa Malaysia adalah bagi membolehkan usaha pemulihan dilakukan.

Sudah hampir 15 tahun harga saham Boustead jatuh berterusan di Bursa Malaysia iaitu daripada RM3.55 pada 4 Jun 2008 kepada 86 sen pada Jumaat lalu. Keuntungannya pun tidak sepadan dengan saiz perniagaan.

Ia memperoleh keuntungan sebelum cukai yang disatukan sebanyak RM446 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 hasil urus niaga sebanyak RM15.1 bilion. Keuntungan yang kecil daripada urus niaga besar kerana ia berhutang dengan banyak iaitu RM6.8 bilion.

Kesimpulannya, walaupun untuk satu jangka masa panjang, prestasi LTAT dan anak-anak syarikatnya diuar-uarkan sebagai cemerlang, malah pengurusan tertingginya disifatkan berwibawa, namun apabila dipaksa melaporkan keadaan sebenar, tabung persaraan anggota tentera itu dalam situasi mengecewakan.

Setelah hampir lima tahun melaksanakan penyusunan semula di bawah pengurusan baharu bermula 2018, masalah tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu masih belum selesai seperti dimanifestasikan oleh penarikan keluar Boustead Holdings Berhad daripada Bursa Malaysia, kejatuhan Pharmaniaga Berhad ke dalam klasifikasi PN17 dan kegagalan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd menunaikan kontrak LCS.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Klik di sini untuk terus membaca