SHAH ALAM - Pakar mendedahkan kegagalan mengawal sikap marah dalam kalangan rakyat Malaysia kini begitu membimbangkan yang dipengaruhi oleh tiga faktor cabaran hidup semasa.
Tiga faktor itu adalah kos sara hidup meningkat, bebanan hutang dan tiada pekerjaan menjadi punca tercetusnya sikap pemarah dalam diri seseorang.
Jurulatih dan Motivator dari Akademi Hipnosis Malaysia, Mohd Huridin Samuri berkata, perkara tersebut berdasarkan penelitian terhadap 150 pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat terapi berkenaan sepanjang tahun lepas berbanding 80 pesakit pada 2021.
"Situasi semasa seperti kos sara hidup meningkat, bebanan hutang dan tiada pekerjaan menjadi punca tercetusnya sikap pemarah dalam diri seseorang individu.
"Jika dilihat permasalahan tersebut menyebabkan tekanan dalam diri mereka dan dengan melampiaskan marah dapat mengurangkan sedikit perasaan panas hati itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Mohd Huridin berkata, terdapat faktor lain yang mempengaruhi sikap panas baran seseorang itu iaitu trauma pada masa lampau seperti penderaan, dibuli dan ditinggalkan keluarga.
"Biasanya, mereka yang ada trauma lampau bertindak menjadi pemarah disebabkan mahu melindungi diri agar tidak lagi ‘disakiti’.
"Golongan ini juga mengawal orang sekeliling dengan cara mereka yang tersendiri. Individu sebegini akan memarahi sesiapa sahaja yang tidak patuh kepada arahannya,” katanya.
Sikap panas baran rakyat Malaysia kembali hangat diperkatakan akhir-akhir ini susulan beberapa video melibatkan pergaduhan atau kes buli di jalan raya dipaparkan di media sosial.
Belum pun reda kisah ‘abang sado baju merah’ menunjal kepala seorang wanita di Cameron Highlands, tular pula satu video seorang penunggang motosikal memukul seorang pemandu wanita dengan topi keledar selepas kedua-duanya terlibat dalam satu kemalangan di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Sementara itu, Pakar Perunding Psikologi CPC International, Dr Noor Aishah Rosli mendedahkan, sikap amarah bukan sahaja berlaku kepada golongan dewasa tetapi juga kanak-kanak.
Menurut Noor Aishah, beliau pernah merawat seorang pesakit yang berusia lima tahun kerana sering memberontak dan tidak mendengar apa yang diperkatakan ibu bapanya.
Jelas beliau, setelah pemeriksaan dijalankan ke atas kanak-kanak berkenaan, ia mungkin disebabkan pengaruh daripada orang tua.
"Kanak-kanak mempunyai satu sikap yang suka meneliti dan mengikut apa yang ditunjukkan oleh orang terdekat. Jadi jika mak ayah merupakan seorang yang panas baran maka tidak hairanlah sekiranya si kecil turut menunjukkan sikap sama.
"Apabila penyebab permasalahan itu berlaku sudah diketahui, kita perlu merawat punca terlebih dahulu.
"Jika ibu bapa yang menjadi penyebab tercetusnya hal berkenaan maka mereka juga perlu mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca