SHAH ALAM - Ditampar sehingga koyak gegendang telinga dan dipijak sampai retak kaki. Itu merupakan mimpi ngeri yang tidak dapat dilupakan sepanjang 25 tahun perkahwinan bersama bekas suami. Menurut seorang wanita yang ingin dikenali dengan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ditampar sehingga koyak gegendang telinga dan dipijak sampai retak kaki. Itu merupakan mimpi ngeri yang tidak dapat dilupakan sepanjang 25 tahun perkahwinan bersama bekas suami.

Menurut seorang wanita yang ingin dikenali dengan nama Za, 49, dia sering menjadi mangsa kepada sikap pasangannya yang gagal mengawal kemarahan.

Anak kelahiran Rompin, Pahang itu berkata, setiap permintaan dan arahan suami harus dipatuhi tanpa sebarang penolakan atau kesilapan.

"Saya masih ingat suatu ketika semasa bekas suami berniaga nasi lemak, saya dipaksa untuk membantunya menjual.

"Namun disebabkan saya menolak, saya kemudian dipukul dengan begitu teruk.

"Bukan itu sahaja, jika di rumah ada tersilap atau terlambat buat sesuatu perkara, saya dicederakan sehinggakan kaki saya retak dan gegendang telinga koyak," ujarnya kepada Sinar Harian.

Pekerja sektor swasta itu turut menceritakan bagaimana anak-anak turut menjadi mangsa sikap panas baran bapa mereka.

Luahnya, bekas suami pernah menumbuk perut anak sulungnya yang ketika itu berumur 12 tahun sehingga muntah darah disebabkan kesalahan kecil.

"Saya yang kadang-kadang mempertahankan anak-anak daripada menjadi mangsa panas baran suami turut terkena tempias barannya itu," ujarnya.

Tambah Za, dia juga diperlakukan dengan begitu kasar dari sudut mental.

"Bekas suami pernah minta saya buat pinjaman bank sehingga puluhan ribu ringgit sebab dia nak main saham, namun saya menolak kerana tidak masuk akal.

"Tetapi dia tak putus asa, dia dera saya secara mental. Maki dan marah hampir setiap hari sehingga akhirnya saya terpaksa mengalah.

"Saya masih ingat dengan kata-katanya, dia akan seksa saya dengan cara mental jika tak dapat secara fizikal," ujarnya.

Tidak tahan dengan keadaan tersebut, Za nekad untuk mengakhiri hubungan rumah tangga bersama suami pada tahun lalu.

Meskipun demikian, dia dan anak-anak pada awalnya masih terkesan dengan penderaan tersebut.

"Walaupun bekas suami sudah tiada di rumah, kadang-kadang kami seakan-akan terdengar teriakkan dan jeritannya, seolah-olah dia masih ada di rumah.

"Saya dan anak-anak sampaikan tak boleh tengok orang marah atau tinggikan suara, ia akan mengimbas semula trauma lama berkenaan.

"Penderaan tersebut betul- betul menyakitkan jiwa kami sehingga saya ditimpa depresi," katanya.

Za bagaimanapun bersyukur kerana kini setelah menerima rawatan dan terapi di sebuah pusat hipnosis, dia perlahan-lahan melupakan trauma tersebut.

"Alhamdulillah, sekarang ini saya dapat melupakannya," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca